X

Kindly register in order to view this article
!

Perokok bukan musuh KKM: Dr Dzulkefly

Dr Dzulkefly
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) tidak pernah menganggap golongan perokok sebagai musuh biarpun kumpulan itu mengambil tindakan undang-undang untuk mencabar polisi larangan merokok di premis makanan.

Malahan, Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, KKM sangat mengambil berat dan komited mempertahankan persekitaran yang sihat agar kesihatan setiap lapisan rakyat terbela.

"Tidak pernah saya atau KKM anggap golongan perokok sebagai musuh," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, KKM juga tidak mendiskriminasikan perkhidmatan kesihatan terhadap pesakit daripada golongan perokok atau bukan perokok.

"Terima kasih dan syabas kepada seluruh warga kerja KKM, badan-badan bukan kerajaan serta setiap individu yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam membantu KKM menjayakan usaha ini. Kesihatan rakyat, tanggungjawab kita bersama," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tujuh individu gagal cabar larangan merokok

Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang menolak permohonan semakan sekumpulan perokok terhadap polisi larangan tersebut.

Dr Dzulkefly berkata, keputusan mahkamah tersebut menunjukkan secara tidak langsung tindakan KKM telah dilakukan secara terperinci dan berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada.

"Keputusan itu juga memberikan suntikan semangat kepada warga KKM khususnya warga Program Kesihatan Awam untuk terus perjuang dan pertahankan polisi ini," katanya.

Tegasnya, tujuan utama penguatkuasaan larangan terbabit adalah untuk melindungi orang awam dari bahaya asap rokok terutamanya kepada mereka yang terdedah secara pasif.

"Larangan yang telah lama berkuatkuasa di 22 tempat awam lain sejak tahun 2005, hanya sekadar diperluaskan tahun ini untuk meliputi tempat makan awam terbuka," katanya.

Beliau berkata, walaupun tiada tempat merokok disediakan di premis makanan, ia tidak bermaksud hak perokok untuk merokok telah disekat atau terhakis.

"Ini kerana perokok masih boleh merokok di luar kawasan larangan.

"KKM telah menetapkan jarak minima yang munasabah untuk perokok meneruskan kegiatan mereka tanpa mengganggu kesihatan dan keselesaan orang lain," katanya.

Beliau berkata, pihaknya komited untuk melaksanakan penguatkuasaan sepenuhnya larangan merokok di tempat makan awam terbuka mulai 1 Januari 2020.

"Tempoh bagi aktiviti penguatkuasaan pendidikan akan berakhir pada 31 Disember 2019," katanya.

Sebelum itu, menerusi ciapannya di Twitter, Dr Dzulkefly menzahirkan ucapan tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia dan warga kementerian itu berikutan keputusan mahkamah tinggi menolak permohonan semakan kehakiman difailkan kumpulan perokok untuk mencabar larangan merokok di tempat awam.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam mempertahankan polisi larangan merokok di tempat makan awam.

"Tahniah dan jutaan terima kasih kepada warga KKM yang gigih dan konsisten pertahankan polisi larangan merokok di tempat makan awam.

"Jutaan terima kasih dan syabas kepada semua NGO (badan bukan kerajaan) yang turut komited menyokong dan mempertahankan polisi larangan ini. Tahniah rakyat Malaysia!" katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!