X

Kindly register in order to view this article
!

Tujuh individu gagal cabar larangan merokok

Larangan merokok di semua premis makan dikuat kuasa Kementerian Kesihatan pada 1 Januari 2019.
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan semakan kehakiman tujuh individu yang membantah keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) mewartakan semua premis makan sebagai kawasan larangan merokok sejak awal Januari lalu.

Mereka ialah Mohd Hanizam Yunus, 52; Zulkifli Mohamad, 56; Mohd Laisani Dollah, 46; Mohd Sufian Awaludin, 35; Ridzuan Muhammad Noor, 52; Mohd Yazid Mohd Yunus, 48, dan Yuri Azhar Abdollah, 39.

Hakim, Datuk Seri Mariana Yahya membuat keputusan itu selepas meneliti semua dokumen serta hujah kedua-dua pihak dan mahkamah berpuas hati bahawa tindakan KKM itu tidak melanggar Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, dakwaan perokok berhubung hak mereka terhakis kerana keputusan KKM mewartakan semua tempat makan sebagai kawasan larangan merokok adalah langsung tidak mempunyai asas.

Beliau berkata, walaupun merokok bukan satu kesalahan jenayah atau diharamkan di Malaysia tetapi tembakau dan rokok terbukti secara kajian saintifik memudaratkan mereka di sekeliling yang terdedah dengan asap rokok.

"Responden yang merupakan KKM dan adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk melindungi 78 peratus populasi yang terdiri daripada 15 tahun ke atas yang tidak merokok untuk menikmati udara segar,” katanya.

Mariana berkata, penggunaan Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan berhubung hak asasi yang dijamin tidak boleh disamakan dengan hak merokok.

“Pemohon boleh merokok selagi mana mereka mahu merokok tetapi dengan syarat mereka mesti mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Mereka boleh merokok di mana-mana sahaja mengikut kehendak mereka melainkan tertakluk dengan tempat yang sudah diwartakan larangan merokok.

"Mereka juga boleh merokok tiga meter dari premis makanan dan menjadi tanggungjawab mereka untuk memastikan putung rokok dibuang di tempat sepatutnya,” katanya.

Merujuk kepada Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan berhubung hak sama rata dan hak perlindungan yang dikemukakan oleh pihak pemohon yang mendakwa mereka mempunyai hak yang sama dengan golongan tidak merokok.

Mariana berkata, mahkamah percaya pihak responden sudah mengambil kira semua faktor kepentingan awam dan bertindak secara munasabah apabila menetapkan peraturan jarak merokok itu.

“Mahkamah berpendapat pihak pemohon melakukan khilaf apabila mendakwa hak merokok mereka ‘terhakis’ sama sekali dengan peraturan larangan ini.

“Responden berhujah pihaknya mengambil masa beberapa tahun dan siri perbincangan dengan pihak-pihak ada diadakan.

"Orang awam juga diberi peluang untuk memberi maklum balas berhubung perkara ini (Pelaksanaan larangan merokok) sejak 2012 malah sejak dari mula ia dicadangkan 15 tahun lalu, namun tiada bantahan,” katanya.

Katanya, pemohon mendakwa mereka tidak dimaklumkan berhubung peraturan itu dan seterusnya ada menubuhkan Persatuan Kesedaran Merokok pada 31 Julai lalu iaitu selepas keputusan larangan itu dibuat

“Pemohon juga menyatakan bahawa Persatuan Pro-Tem Pertahankan Hak Perokok (PHP) ditubuhkan 24 Disember 2018.

“Ia adalah persatuan mewakili perokok seluruh Malaysia yang tujuannya untuk menjaga kepentingan dan hak perokok dan ditubuhkan selepas keputusan larangan dibuat.

“Jadi ia tidak begitu praktikal bagi responden untuk mendapatkan pandangan daripada semua perokok apabila tiada sebarang badan atau persatuan mewakili mereka untuk berbincang ketika itu,” katanya.

Mahkamah memutuskan bahawa responden tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan bertindak dalam bidang kuasanya.

Kementerian Kesihatan diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan manakala peguam Muhammad Haniff Khatri Abdulla dan Datuk M Riza Hassan mewakili tujuh individu berkenaan.

Sebelum ini pada 29 Januari lalu, tujuh individu memperoleh kebenaran di Mahkamah Tinggi untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Kementerian Kesihatan yang mewartakan semua tempat makan sebagai kawasan larangan merokok bermula awal Januari lalu.

Dalam permohonan kebenaran difailkan pada 31 Disember tahun lalu, tujuh perokok itu memulakan tindakan undang-undang bagi mencabar keputusan kerajaan menguatkuasakan larang merokok di semua premis makan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!