1 jam bersih bahan kimia bocor di Kampung Saujana

No Image Caption
A
A
A

BANDAR PERMAISURI - Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengambil masa kira-kira sejam membersihkan kebocoran bahan kimia demulsifier daripada sebuah lori di Kampung Saujana di sini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu, Zul Azman Jamaludin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.10 pagi tadi sebelum 20 pegawai dan anggota daripada BBP Setiu, dan Hazmat Kerteh digerakkan ke lokasi kejadian.

Katanya, bahan kimia tersebut dibawa dari Kemaman menuju ke Tok Bali, Kelantan dan kebocoran itu disedari pemandu lori apabila terhidu bau bahan tersebut yang kemudiannya bertindak berhenti berdekatan sebuah stesen minyak di sini.

“Kebocoran itu dikatakan berlaku pada tangki simpanan dan tumpah ke dalam bekas takungan yang berada di bahagian bawah sebelum turut terpercik ke atas jalan raya sejauh dua kilometer,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Zul Azman berkata, pasukan Hazmat menggunakan alat penyerap minyak untuk menyerap bahan kimia tersebut dan dimasukkan ke dalam bekas khas sebelum diserah kepada pihak syarikat terbabit untuk dihantar ke pihak kualiti alam bagi tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, sekiranya kebocoran tersebut lambat dibersihkan ianya boleh memudaratkan pengguna yang turut melalui kawasan terlibat. - Bernama

Artikel Berkaitan: