Jawatan Exco di Kelantan, Terengganu sudah penuh: Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim di Parlimen hari ini. - FOTO: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Tuan Ibrahim di Parlimen hari ini. - FOTO: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada kekosongan jawatan Exco di negeri pimpinan Pas untuk diisi pemimpin UMNO kerana kuota sudah mencukupi, kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurutnya, pelantikan sudah penuh namun permuafakatan kedua-dua parti masih berjalan dengan baik di Kelantan dan Terengganu.

“Bagi kita dalam keputusan PRU14, rakyat dah beri mandat dan kita setuju UMNO pas jadi satu pasukan, (UMNO) bukan pembangkang walau tak terlibat secara langsung.

“Jawatan Exco dah cukup, semua dah ada kuota. Macam Kerajaan Negeri Perlis, ada kekosongan dia tawarkan kepada kita.

“Jawatan semua penuh, Perlis tawarkan sebab ada kekosongan. Kita tak terima cadangan tersebut tapi kita akan bersama kerajaan,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Tambah beliau, pemimpin UMNO tidak masuk secara langsung dalam pentadbiran kerajaan namun mereka terlibat dalam beberapa agensi di bawah kerajaan negeri.

“Hingga setakat ini, dari segi kerajaan, mereka tidak masuk secara terus tapi mereka terlibat dalam beberapa agensi bawah kerajaan negeri.

“Buat masa ini penglibatan mereka sangat baik,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian bagi mengulas cabaran cabaran Pengerusi Amanah Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad mencabar Pas untuk menerima sekurang-kurangnya dua pemimpin UMNO ke kerajaan negeri untuk membuktikan keikhlasan mereka.

Menurutnya, jika Pakatan Harapan (PH) telah membuktikan kerjasama dan kepercayaan baik dengan membenarkan parti memegang kerusi yang sedikit menjadi ketua menteri, kenapa Pas tidak boleh melantik dua ahli UMNO sebagai Exco Negeri sahaja tanpa melepaskan kerusi menteri besar.

Dalam pada itu Ahli Parlimen Kubang Kerian itu turut menyindir Raja Kamarul Bahrin Shah dan mengatakan penawaran jawatan itu bukan hal Amanah.

“Kita dah berunding sebenarnya dalam peringkat kerajaan negeri, dah mendahului Amanah. Mereka tak perlu risau, tiada kena mengena dengan Amanah,” katanya.