KT Sentral rangsang pertumbuhan ekonomi

Zuraida diberikan penerangan tentang KT Sentral sewaktu mengadakan lawatan tapak di Bandar Baharu Bukit Besar di sini semalam.
Zuraida diberikan penerangan tentang KT Sentral sewaktu mengadakan lawatan tapak di Bandar Baharu Bukit Besar di sini semalam.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Projek pembangunan terminal pengangkutan awam bersepadu, KT Sentral di Bandar Baharu Bukit Besar dijangka akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri, dengan penyediaan perkhidmatan pengangkutan lebih cekap dan responsif.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin memuji rancangan yang dimulakan kerajaan negeri itu berkata, kerajaan Persekutuan menyokong penuh cadangan projek KT Sentral itu yang dilihat mempunyai prospek baik.

Menurutnya, jika berjaya dilaksanakan, Terengganu bakal memiliki ‘mini Putrajaya’, sekali gus dapat meningkatkan jumlah kedatangan pelancong di negeri ini.

“Kita akan menyokong cadangan pembinaan ini tetapi kerajaan negeri perlu membuat pembentangan lebih terperinci mengenai cadangan projek yang dianggarkan bernilai RM156 juta ini kepada kita.

“Kita cuba untuk serap projek ini ke dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) pada 2021 dan difahamkan, ia dijangka mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja di tapak KT Sentral di Bandar Baharu Bukit Besar hari ini.

Turut hadir, Timbalan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ahmad Shah Muhamed.

Tapak KT Sentral yang telah digazet berkeluasan 17 ekar dan terletak di kawasan pembangunan beberapa agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Kimia, Jabatan Audit Negara dan Jabatan Kesihatan.

Jelas Zuraida, terminal bas sedia ada yang dikenali sebagai hentian Bas MBKT di Jalan Syed Husin walaupun uzur, masih boleh digunakan dan akan dipertingkatkan menjadi sebuah lagi hab di Terengganu.

Artikel Berkaitan:

“Ia juga mungkin boleh dipertingkatkan lagi dengan menjadikannya pusat perniagaan. Terminal itu tidak akan dimusnahkan kerana tempatnya strategik dan boleh jadi hab sokongan kepada KT Sentral,” katanya.