Kematian Abu Bakr tiada kesan kepada pengikut Daesh

Abu Bakr Al-Baghdadi
A
A

SHAH ALAM - Berita kematian ketua kumpulan pengganas Daesh, Abu Bakr Al-Baghdadi dalam satu serangan ketenteraan di Syria, tidak memberi impak kepada pengikut kumpulan radikal itu khususnya di negara ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pengikut kumpulan itu juga tidak bergantung kepada Abu Bakr.

"Pengikut Daesh yang berada di Asia Tenggara ini tidak mendapat arahan dari sana. Semua rancangan serangan di negara ini muncul daripada pengganas secara 'lone wolf' atau 'self radicalise' yang dipengaruhi ideologi salafi jihadi IS (Islamic State).

"Selagi ideologi tidak dibanteras, selagi itu ada ancaman IS dan lain-lain kumpulan yang memegang ideologi tersebut. Ancaman pengganas akan kekal, sama seperti kematian Osama Ben Laden dulu, Al Qaeda masih terus menjadi ancaman kepada dunia," katanya ketika dihubungi Sinar Harian tadi.

Ayob Khan berkata, pihaknya sentiasa memantau kegiatan pengganas secara ‘lone wolf’ dan yang boleh mengancam keselamatan negara.

"Kita bimbang dengan kegiatan pengganas 'lone wolf' yang bergerak secara bersendirian, kita akan buat tangkapan jika ada tanda-tanda ancaman daripada mereka," katanya.

Sejak 2013 sehingga kini, Bahagian E8 mematahkan 24 plot cubaan untuk melancarkan serangan pengganas dalam negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Al-Baghdadi mati seperti seekor anjing: Trump