Rangka tindakan pertanian pertama Sabah libat graduan universiti

 Mohd Shafie Apdal
Mohd Shafie Apdal
A
A
A

SEMPORNA - Rangka tindakan pertanian negeri yang pertama akan dilancar pada minggu depan mencakupi usaha meningkatkan pembabitan penduduk kampung serta graduan universiti dalam aktiviti pertanian dan perikanan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, rangka tindakan berkenaan akan membantu golongan sasar dari segi khidmat nasihat dan bimbingan mengenai perusahaan serta pemasaran hasil.

"Bulan depan kita akan lancar rangka tindakan pertama yang membabitkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah, misalnya kita akan bagi (sediakan) tol tanah kepada anak kampung atau graduan universiti, kita galak belia kampung, graduan berkecimpung dalam bidang perikanan.

"Kita akan sedia tol (tanah) pesisiran pantai yang tidak digunakan dengan pusat pelancongan untuk dibangunkan perusahaan menternak ikan, saya tidak (tumpuan) tangkap (ikan) laut dalam sahaja, kita sedar (nelayan) kawasan laut berdepan ancaman lanun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Fiesta Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) 2019 peringkat negeri di sini hari ini.

Menurutnya, pemberian tol tanah itu akan dibincangkan dengan Pegawai Daerah, Jabatan Tanah dan Ukur Sabah selain Setiausaha Kerajaan Negeri.

"Mungkin tol tanah itu kita sediakan seluas tujuh ekar untuk mereka (golongan sasar) bela ikan, seterusnya kita bantu dari segi perincian ikan yang perlu dibela, harga pasaran termasuk permintaan pasaran semasa," katanya dan turut mengingatkan agar tanah rizab kawasan pelancongan tidak dikacau.

Katanya, pembangunan rangka tindakan itu secara langsung dapat memacu sumbangan sektor pertanian dan perikanan kepada ekonomi negeri, selain meningkatkan pendapatan golongan sasar.

Artikel Berkaitan:

Mohd Shafie yang kemudian ditemui media berkata, graduan universiti yang boleh dilibatkan dalam rangka tindakan berkenaan akan dikenalpasti dan disesuaikan dengan perusahaan diceburi.

"Misalnya kalau pelajar ini dari Kudat kita (projek) disesuaikan mengikut tempat tinggal dan daerah, begitu juga dari Semporna dan Papar," katanya.

Mohd Shafie turut menzahirkan rasa terima kasih kepada AIM yang membantu membangunkan usahawan di Sabah terdiri daripada golongan wanita.

"Di peringkat Semporna, AIM menyediakan peruntukan RM17 juta untuk 3,000 usahawan berskala kecil," katanya.

Menurutnya, pewujudan AIM membantu sebahagian besar golongan B40 di Semporna keluar daripada kepompong kemiskinan.

Selain itu, beliau juga berterima kasih kepada Bank Islam kerana sudi memberi bantuan RM241,490 bagi pembinaan lima rumah Sahabat AIM, masing-masing tiga di Semporna dan dua di Lahad Datu.

Sementara itu, Pengarah Urusan AIM,Mohamed Shamir Abdul Aziz berkata, sehingga September tahun ini, pihaknya menyalurkan pembiayaan RM208 juta kepada 62,059 Sahabat AIM di Sabah.

Katanya, AIM genap beroperasi selama 20 tahun di Sabah melalui lima wilayah serta 24 cawangan. - Bernama