Vietnam ambil sampel DNA ahli keluarga mangsa kontena

Tran Thi Hue (tengah), nenek kepada Le Van Ha, 30, yang dikhuatiri salah seorang daripada 39 mangsa yang ditemui maut dalam kontena sejuk beku di Britain Rabu lalu.ditenangkan ahli keluarga di rumah mereka di wilayah Nghe An. - Foto AFP
Tran Thi Hue (tengah), nenek kepada Le Van Ha, 30, yang dikhuatiri salah seorang daripada 39 mangsa yang ditemui maut dalam kontena sejuk beku di Britain Rabu lalu.ditenangkan ahli keluarga di rumah mereka di wilayah Nghe An. - Foto AFP
A
A
A

NGHE AN - Pihak berkuasa Vietnam dilaporkan mengambil sampel DNA ahli keluarga individu dikhuatiri antara 39 mangsa yang ditemui maut dalam sebuah kontena sejuk beku di Britain Rabu lalu.

Sejumlah 31 lelaki dan lapan wanita yang maut itu pada awalnya dipercayai warga China namun beberapa keluarga dari Vietnam mendakwa ahli keluarga mereka turut menjadi mangsa.

Kebanyakan imigran yang disyaki menjadi mangsa berasal dari kawasan perkampungan miskin di tengah Vietnam.

Hanya segelintir daripada mereka dipercayai membawa pengenalan diri dan keluarga terbabit menunggu penuh debar berita tentang ahli keluarga masing-masing.

Sumber keselamatan di Vietnam berkata, sebuah pasukan telah dikerah ke kawasan terbabit semalam bagi mengumpul sampel DNA daripada ahli keluarga individu yang disyaki menjadi mangsa.

"Kami telah mula mengumpul rambut dan sampel darah ahli keluarga," kata sumber yang enggan dikenali kepada AFP.

Ayah kepada seorang lelaki yang hilang, Nguyen Dinh Luong, mengesahkan kepada AFP bahawa sampel telah diambil semalam.

"Polis memaklumkan keputusan akan mengambil masa tetapi tidak memaklumkan tarikhnya," kata Nguyen Dinh Gia di wilayah Ha Tinh.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu trak bawa 39 mayat didakwa

Sementara itu, polis British berkata, pihaknya akan cuba mempercepat ujian DNA.

Laporan media menyebut, Kementerian Keselamatan Awam Vietnam menugaskan pelbagai agensi untuk menyiasat sama ada imigran terbabit diseludup secara haram ke luar negara.

Sumber keselamatan turut memaklumkan empat individu ditahan atas tuduhan menguruskan perjalanan secara tidak sah ke luar negara namun mereka belum didakwa secara rasmi.

Sementara itu, ibu bapa mereka yang disyaki menjadi mangsa serta penduduk Kampung Phu Xuan, wilayah Nghe An mengadakan majlis bagi mendoakan ahli keluarga mereka yang terputus hubungan sejak trak terbabit ditemui. - AFP