‘Peladang, penternak dan nelayan hero negara’

Salahuddin hadir merasmikan Himpunan Peladang 2019 di Sekolah Kebangsaan Rambah, Pontian di sini.
Salahuddin hadir merasmikan Himpunan Peladang 2019 di Sekolah Kebangsaan Rambah, Pontian di sini.
A
A
A

PONTIAN - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) mengiktiraf jasa golongan petani sebagai benteng makanan negara.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, golongan peladang, penternak dan nelayan merupakan wira negara apabila menjadi penyumbang utama bagi memastikan sumber bekalan makanan mencukupi untuk rakyat.

Justeru katanya, kementerian sentiasa komited menyalurkan pelbagai bantuan bagi membela nasib petani dengan mempertingkatkan pendapatan golongan B40 itu.

“Saya anggap golongan petani ini macam golongan perajurit negara. Jangan pandang remeh askar-askar dan polis pencen kerana mereka sebenarnya merupakan hero negara.

“Begitu juga dengan petani-petani yang bekalkan sumber makanan. Kalau tak ada nelayan ke laut, kita tak cukup ikan. Kalau tak ada makcik-makcik yang bangun pagi siapkan jualan untuk kita beli sarapan, tak kebulur kita? Andalah semua hero negara,” katanya.

Salahuddin berkata, slogan atau motto baharu MOA Benteng Makanan Negara sejajar dengan usaha kementerian mengiktiraf peranan golongan petani.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Himpunan Peladang 2019 di Sekolah Kebangsaan Rambah, Pontian di sini Sabtu lalu.

Artikel Berkaitan:

Himpunan Peladang 2019 di Sekolah Kebangsaan Rambah, Pontian di sini.
Himpunan Peladang 2019 di Sekolah Kebangsaan Rambah, Pontian di sini.

Pada majlis sama, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) turut menyampaikan sumbangan zakat perniagaan berjumlah RM80,000 kepada 400 peladang asnaf daripada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pontian Selatan dan Pekan Nanas. Ia merupakan sebahagian daripada wakalah zakat perniagaan negeri Johor.

Program tersebut yang berlangsung selama dua hari pada 25 dan 26 Oktober lalu turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik antaranya pameran dan jualan produk makanan jenama Peladang, jualan murah ayam super jenama Peladang, servis motosikal percuma menggunakan minyak pelincir jenama Nafaslube, Juadah Bonda dan aktiviti kanak-kanak, Agrokids.

Dalam perkembangan lain, Salahuddin berkata, Nafas perlu memperkukuhkan kewangan bagi memastikan aktiviti perniagaan Nafas dapat berkembang lebih maju demi ahli-ahlinya yang merangkumi lebih 900,000 orang.

“Saya dan kementerian sedang bekerja keras untuk memastikan dan mengukuhkan lagi Nafas. Saya mahu satu jumlah besar masuk ke tabung Nafas atau tabung pelaburan Nafas.

“Ini nanti akan memberi manfaat contohnya caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk nelayan tua dan anak-anak mereka yang berjaya diberikan biasiswa.

“Kementerian sentiasa fikir macam mana kita nak tolong rakyat. Macam mana nak pastikan khazanah negara sampai ke rakyat tanpa ketirisan,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai aspek yang merangkumi golongan petani, penternak dan nelayan perlu dilihat memandangkan golongan ini yang merupakan penggerak bagi menjayakan hasrat kementerian untuk menjadikan MOA sebagai benteng makanan negara.