Tiga daerah Perak masih dilanda banjir

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Tiga daerah di Perak masih dilanda banjir dengan 374 mangsa melibatkan 85 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 10 pagi ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam satu kenyataan berkata, daerah yang terjejas adalah Batang Padang seramai 53 mangsa melibatkan 12 keluarga dari Kampung Pasir dan Kampung Batu Masjid, Chenderiang dipindahkan ke Dewan Kampung Haji Tahir malam tadi.

Menurutnya, hujan lebat berterusan sejak jam 8 malam menyebabkan limpahan air dari Sungai Chenderiang berlaku hingga paras 0.6 meter.

"APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) menerima panggilan kecemasan pada jam 8.47 malam daripada orang awam memaklumkan kejadian banjir dan setelah pemantauan dilakukan, didapati paras air naik mendadak.

"Mangsa-mangsa yang terlibat telah dipindahkan bagi tujuan keselamatan," katanya.

Daerah Hilir Perak masih mencatatkan bilangan paling ramai mangsa dipindahkan iaitu 176 mangsa daripada 40 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS.

Kata kenyataan itu, Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Jong menempatkan 78 penduduk dari Kampung Kampung Batu 7 dan Lorong Mesra Batu 7 ½.

Selain itu, Dewan MPTI menempatkan 82 mangsa antaranya dari Kampung Attaduri Lama, Kampung Chikus dan Sungai Lampam serta SK Dato' Yahya Subban melibatkan 16 orang dari Parit 5 Pengkalan Ara.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, di Kerian seramai 145 mangsa dengan 33 keluarga masih ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak, Alor Pongsu.

Banjir sejak 21 Oktober lalu menyebabkan limpahan air berlaku di Jalan FT 147 Bagan Serai-Selama dan melimpah ke kawasan penempatan penduduk di Kampung Matang Tengah.