X

Kindly register in order to view this article
!

'Kematian Abu Bakr tidak bermakna Daesh terkubur'

Profesor Madya Dr Mohd Mizan
A
A

SHAH ALAM - Berita kematian ketua kumpulan pengganas Daesh, Abu Bakr Al-Baghda dalam satu serangan ketenteraan di Syria, semalam tidak akan menguburkan ideologi perjuangan kumpulan radikal itu di seluruh dunia termasuk rantau Nusantara.

Pakar Kajian Strategik Antikeganasan dan Diradikalisasi dari Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof Madya Dr Mohd Mizan Mohd Aslam tidak menolak kemungkinan ideologi perjuangan Daesh akan terus digerakkan menerusi kumpulan kecil.

Menurutnya, gerakan kumpulan kecil membawa diaspora perjuangan Daesh di rantau Nusantara atau lebih dikenali kelompok 'Katibah Nusantara' juga akan terus berjalan seperti biasa meskipun dalam momentum perlahan sebenarnya agak menjejaskan perjuangan kelompok itu di Malaysia dan negara-negara nusantara lain.

"Saya melihat kematian Abu Bakr Al-Baghdadi tidak bermakna ISIS (Daesh) terkubur kerana dunia masih berhadapan dengan peperangan ideologi dibawa kumpulan pengganas itu yang tidak akan mati.

"Di negara dalam rantau Nusantara, kematian pemimpin itu mungkin akan menjejaskan perjuangan kelompok Katibah Nusantara tetapi hanya dalam satu tempoh singkat kerana mereka pastinya akan menghilangkan diri buat sementara.

'Mereka menyusun strategi baharu dan menunggu arahan daripada pemimpin-pemimpin baharu bakal diangkat organisasi kumpulan ISIS atas persetujuan bersama," katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Mizan berkata, sejak Daesh diumumkan lumpuh Mac lalu, pergerakan kumpulan militan itu digerakkan melalui lebih 100 kelompok kecil di seluruh dunia dan masih berhubung rapat

Menurutnya, kematian Abu Bakr dijangka akan segera mewujudkan lompang dalam kepimpinan Daesh sebelum kemunculan pemimpin baharu kumpulan pengganas itu.

"Sebagaimana kelompok Katibah Nusantara, mereka turut dijangka akan berdiam diri sementara menunggu pemimpin baharu dipilih terutama individu yang berfahaman wahabi ekstrem.

"Pengganti Abu Bakr dipercayai tidak akan dipilih dalam kalangan kelompok Katibah Nusantara, tetapi masih mengekalkan ciri mereka berketurunan Arab kerana konflik negara Timur Tengah masih menjadi fokus utama perjuangan Daesh," katanya.

Mohd Mizan berkata, kesan langsung berita kematian Abu Bakr dijangka akan menyebabkan seramai 57 pejuang Daesh disahkan berada di Timur Tengah ketika ini akan berfikir semula dan merasakan keperluan untuk balik ke negara ini setelah perjanjian baiah setia dengan ketua pengganas itu dianggap tamat.

Bagaimanapun beliau menegaskan terdapat kumpulan pejuang ekstremisme seperti bekas anggota Kumpulan Militan Malaysia (KMM) yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Muhammad Rafiuddin yang akan terus berjuang kerana baiah mereka bersama Daesh atas faktor perjuangan, bukan individu tertentu.

"Kumpulan itu masih dianggap berbahaya kerana mereka yakin pemimpin lain akan naik dan percaya perjuangan radikal mereka perlu diteruskan selagi Daesh wujud.

"Jika tiada, mereka sendiri akan berevolusi mewujudkan gerakan baharu kerana kajian sejarah membuktikan ideologi keganasan langsung tidak akan mati sebagai ideologi komunis dan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di negara ini," katanya.

Hari ini, media antarabangsa melaporkan Ketua Daesh, Abu Bakr al-Baghdadi, dipercayai telah terbunuh dalam operasi oleh tentera Amerika Syarikat di Syria, menurut sumber maklumat di Syria, Iraq dan Iran.

Seorang pegawai Amerika, yang bercakap dengan pihak media dengan syarat tidak menyiarkan namanya, sebelum ini memberitahu, Baghdadi adalah sasaran dalam serbuan semalaman tetapi tidak dapat mengesahkan kejayaan itu.

Komander puak militan di wilayah timur Syria, Idlib, berkata, Baghdadi dipercayai terbunuh dalam serbuan selepas tengah malam semalam dalam operasi yang melibatkan helikopter, kapal terbang tentera dan pertempuran di kampung Brisha, berdekatan sempadan Turki.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!