Umat Islam perlu ubah pemikiran demi pembangunan ketamadunan Islam

Yudi berucap pada Wacana Ilmiah berkenaan.
Yudi berucap pada Wacana Ilmiah berkenaan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Umat Islam perlu mengubah pemikiran demi membangunkan ketamadunan Islam yang dilihat semakin jauh ketinggalan berbanding tamadun lain di dunia.

Ahli akademik Universiti Negeri Yogyakarta, Yudi Latif berkata, pemikiran umat Islam dilihat terlalu memberi perhatian kepada soal hidup selepas mati sehingga mengabaikan kehidupan di dunia.

Menurutnya, sikap berkenaan bercanggah dengan tuntutan agama yang memberikan penekanan terhadap pembangunan tamadun.

"Umat Islam hari ini lebih banyak memikirkan mengenai hidup selepas mati (life after death). Fokus mereka adalah bagaimana untuk mendapatkan syurga.

“Mereka juga terlalu menekankan pencapaian kehidupan selepas mati sambil menyifatkan seolah-olah isu ekonomi adalah isu kotor.

"Disebabkan itu, mereka (orang Islam) rasa tiada kaitan dengan pembangunan ekonomi. Mereka cuma berdoa dan fokus bagaimana hendak dapatkan syurga," katanya pada Wacana Ilmiah Masa Depan Budaya Ilmu Dalam Peradaban Nusantara di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC-IIUM), Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Pensyarah Fakulti Seni dan Sains Sosial Universiti Nasional Singapura, Prof Madya Khairuddin Aljunied dan Prof Adjung ISTAC-IIUM; Senator Yusmadi Yusoff dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut menyampaikan ucapan pembukaan sempena wacana berkenaan.

Tambahnya, perkara sama pernah berlaku di Eropah satu ketika dahulu yang menyaksikan pihak gereja terlalu menekankan isu membabitkan agama.

Artikel Berkaitan:

Menurut Yudi, tindakan berkenaan sekali gus menjadikan gereja terpisah daripada masalah realiti yang melibatkan rakyat.

“Islam sebenarnya membawa peradaban dunia dengan menjadikan ajaran agama, ilmu pengetahuan dan ekonomi sebagai satu tautan.

“Masalah tamadun Islam hari ini adalah apabila umat Islam merasakan agama dan ekonomi kini berlaku pemisahan. Kita lupakan syurga di sini dan di sana (akhirat)," katanya.

"Umat Islam harus segera mengubah pemikiran dan berusaha bersungguh-sungguh mencipta 'syurga' di dunia dan akhirat," katanya.

Bagi Khairuddin Aljunied antara perkara lain yang perlu diberi penekanan dalam pembinaan ketamadunan Islam hari ini adalah segi akhlak dan etika.

Katanya kedua-dua elemen berkenaan dilihat penting sekali gus dapat mewujudkan pula ketamadunan sains Islam pada masa hadapan.

"Akhlak dan etika adalah dua elemen penting. Sebagai contoh, penjagaan kebersihan itu adalah akhlak yang baik dan boleh membantu membentuk etika sempurna," katanya.

Tambah Khairuddin, dunia hari ini memerlukan lebih ramai golongan intelektual.

Bagaimanapun katanya, timbul masalah apabila wujud budaya 'tok guru' dalam kalangan masyarakat termasuk orang Islam itu sendiri.

"Hasil penyelidikan, kita dapati ada masalah iaitu budaya 'tok guru.' Tapi yang menjadi masalahnya adalah murid dan 'tok guru' sentiasa betul.

"Jadi, sebab itulah kita perlu lebih ramai golongan intelek dan seterusnya bebas daripada budaya 'tok guru' ini.

"Masalahnya bukan dengan 'tok guru.' Masalahnya adalah pelajar yang mengatakan tok guru tidak boleh salah. Tok guru sentiasa betul sepanjang masa, setiap masa," katanya.