Maut terjatuh kenderaan mengundur

Kenderaan dinaiki mangsa yang mengundur secara tiba-tiba.
Kenderaan dinaiki mangsa yang mengundur secara tiba-tiba.
A
A
A

GUA MUSANG - Tindakan seorang suri rumah menghidupkan enjin kenderaan yang diparkir di hadapan rumah bertukar tragedi sehingga meragut nyawanya apabila jatuh dari sebuah kenderaan yang mengundur secara tiba-tiba dalam kejadian Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa, Salma Mat Yaakub, 55, dari Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Sungai Asap B di sini dipercayai mahu menghidupkan enjin pacuan empat roda Toyota Hilux yang diletakkan di hadapan rumah namun keadaan struktur muka bumi yang agak menurun menyebabkan kenderaan tersebut mengundur.

Menurutnya, mangsa yang panik kemudian cuba menyelamatkan diri namun terjatuh ke dalam longkang ketika keluar dari kenderaan tersebut.

"Mangsa kemudian dihantar ke Klinik Kesihatan Jeram Tekoh dan disahkan meninggal dunia oleh petugas klinik.

"Mangsa terus dihantar ke Bahagian Unit Forensik Hospital Gua Musang (HGM) untuk proses bedah siasat," katanya.

Menurutnya, kerosakan kenderaan dikesan di bahagian pintu hadapan sebelah kanan dan siasatan lanjut berhubung kejadian masih diteruskan.

Artikel Berkaitan: