Maqis rampas mangga, ubi keladi

Maqis dan Aksem Kedah merampas buah mangga dan ubi keladi yang cuba dibawa masuk ke dalam negara ini pada Rabu lalu.
Maqis dan Aksem Kedah merampas buah mangga dan ubi keladi yang cuba dibawa masuk ke dalam negara ini pada Rabu lalu.
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dengan kerjasama Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) berjaya mematahkan cubaan membawa masuk buah mangga dan ubi keladi dari Thailand di Durian Burung kira-kira jam 11.30 malam pada Rabu lalu.

Pengarah Maqis Kedah, P Lily Rosalind berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati sebuah lori cuba membawa masuk 1,200 kilogram (kg) buah mangga dan 1,600 kg ubi keladi tanpa dokumen yang sah seperti permit import serta sijil fitosanitasi dari negara asal.

Menurutnya, anggaran nilai keseluruhan keluaran pertanian adalah sebanyak RM5,000.

"Perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit yang sah adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3).

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lily berkata, penahanan konsainan itu adalah bagi mengekang kemasukan serangga perosak terutama yang terdapat pada buah mangga iaitu kumbang pengorek buah (sternochetus mangiferae).

Katanya, sekiranya serangga perosak itu terlepas masuk ke Malaysia, ia boleh menyebabkan industri pertanian di negara ini terjejas.

"Hal ini boleh menyebabkan pengusaha tanaman pertanian menanggung kerugian yang tinggi jika penyakit ini tidak dapat dikawal.

Artikel Berkaitan:

"Akta 728 diguna pakai bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan dan tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan mematuhi aspek kesihatan manusia serta dapat mengawal kemasukan perosak merbahaya yang boleh mengancam industri pertanian negara," katanya.

Tambahnya, konsainan yang disita dan dilupuskan mengikut prosedur operasi piawai (SOP) yang telah ditetapkan bagi memastikan risiko kemasukan penyakit dapat dicegah.