Operasi SAR pengarah filem disambung esok

Sungai Jelai di mana seorang pengarah filem dikhuatiri lemas ketika sedang memancing bersama rakan. Gambar kecil: Firdaus
Sungai Jelai di mana seorang pengarah filem dikhuatiri lemas ketika sedang memancing bersama rakan. Gambar kecil: Firdaus
A
A
A

KUANTAN - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pengarah filem, Firdaus Haniff, 44, atau lebih dikenali sebagai Pitt Hanif yang dikhuatiri lemas di Sungai Jelai berhampiran Jambatan Gemuntur, Kampung Mela, Lipis ditangguhkan jam 7 petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Norhisham Mohammad berkata, operasi SAR akan disambung pagi esok.

Menurutnya, pada operasi petang tadi, pasukan SAR menggunakan teknik pencarian di permukaan sungai di kawasan sepanjang 2 kilometer dari lokasi mangsa dan rakannya dilaporkan terjatuh selepas bot dinaiki karam akibat terlanggar tiang jambatan.

"Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari tadi, mangsa dikhuatiri lemas manakala rakannya, Sham Mokhtar selamat.

"Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan daripada MERS 999 berhubung kejadian jam 2.04 petang sebelum anggota dari Balai Bomba dan penyelamat Kuala Lipis dan Bukit Angin, Temerloh ke lokasi kejadian," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengarah filem dikhuatiri lemas

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor memaklumkan, sehingga jam 5 petang ini mangsa masih belum ditemui.

Menurutnya, operasi SAR melibatkan 43 kekuatan daripada pelbagai agensi iaitu pihak bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan polis serta orang kampung.

Artikel Berkaitan:

Pitt Haniff merupakan anak kepada pelakon terkenal, Fauziah Nawi.