Juruteknik maut diseret lori

Mangsa maut selepas diseret sejauh kira-kira 40 meter.
Mangsa maut selepas diseret sejauh kira-kira 40 meter.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang juruteknik maut kemalangan selepas diseret lori sejauh kira-kira 40 meter dalam kejadian di kilometer 6.9 Lebuhraya MEX menghala ke Putrajaya, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 6.04 petang itu, mangsa Mohamad Roslan Othman, 36, maut di lokasi kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkifly Yahya berkata, kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan iaitu kereta jenis Honda Accord, lori dan motosikal jenis Yamaha NMax yang ditunggang mangsa.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Honda Accord terbabit sedang berhenti di lorong kiri.

"Mangsa yang datang dari arah belakang telah melanggar sisi kanan belakang kereta tersebut sebelum tercampak di bawah lori yang berada di lorong tengah.

"Mangsa telah diseret kira-kira 40 meter dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, mayat mangsa telah dibawa ke unit forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Katanya, siasatan masih dijalankan dan polis sedang mengesan saksi bebas bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.