Projek TKPM: Pahang lulus tanah lebih 5,000 hektar

Wan Rosdy (dua dari kanan) pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (PASFA) di Hotel Vistana malam tadi.
Wan Rosdy (dua dari kanan) pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (PASFA) di Hotel Vistana malam tadi.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang sudah meluluskan tanah seluas 5,157 hektar di seluruh negeri ini untuk projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM).

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kelulusan itu menjadikan Pahang antara negeri paling banyak meluluskan tanah bagi projek TKPM di semenanjung.

"Saya juga dimaklumkan bahawa Pahang adalah yang paling baik menguruskan hasil pertanian berbanding negeri lain di semenanjung.

"Jadi kita akan terus menambah projek TKPM pada masa akan datang untuk terus mendapat hasil kepada negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (PASFA) di Hotel Vistana malam tadi.

Hadir sama Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PASFA, Datuk Mustaffar Kamal Ab Hamid.

Wan Rosdy berkata, pencapaian itu menunjukkan Pahang adalah sebuah negeri yang mementingkan sektor pertanian dalam usaha menjana pendapatan rakyat.

Selain itu, beliau berkata, aplikasi PahangGo telah dimuat turun hampir 4,000 pengguna di seluruh negeri ini dalam tiga hari.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, jumlah terbabit dijangka akan meningkat kerana ia memudahkan urusan harian mereka.

"Jadi saya meminta semua rakyat terutamanya di Pahang supaya memuat turun aplikasi ini di telefon pintar mereka.

"Aplikasi ini akan memudahkan mereka membuat pembayaran pelbagai bil yang ditawarkan meliputi pihak kerajaan serta swasta," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, PASFA memayungi 22 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) seluruh Pahang dengan jumlah keahlian kira-kira 66,146 orang yang merangkumi kira-kira 200,000 ahli keluarga.