Mayat dipercayai mangsa bot karam ditemukan

No Image Caption
A
A
A

LAHAD DATU - Mayat disyaki milik salah seorang daripada tujuh mangsa yang dilaporkan hilang selepas bot dinaiki dipercayai karam, Khamis lalu, ditemukan di Laut Mataking, Semporna, hari ini.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, mayat yang belum diketahui jantina itu ditemui orang awam yang kemudian memaklumkan kepada anggota bertugas Pasukan Gerakan Am (PGA).

"Saya percaya, mayat yang ditemui ini ada hubungan atau berkaitan tujuh mangsa hilang itu. Kita percaya mayat ini dihanyutkan mengikut arus laut. Kalau kita lihat, mangsa pertama yang ditemui berada di laluan arus yang tidak menentu.

"Mayat sekarang berada di Pos PGA Mataking dan anggota PPM Semporna serta polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna berada di pos berkenaan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Pajeri berkata, radius pencarian akan diperluaskan mengikut keperluan.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa masih hilang dijalankan untuk tempoh seminggu," katanya.

Sebelum ini dilaporkan, seorang lelaki selamat di perairan Merabung, manakala seorang wanita ditemui lemas di perairan Bangingod, Tungku, dekat sini dan tujuh individu masih hilang dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki sembilan orang dipercayai karam.

ARTIKEL BERKAITAN: Bot karam: PPM, APM teruskan SAR cari tujuh mangsa hilang

Artikel Berkaitan:

Hari ini, Mohamad Pajeri menyertai tinjauan di kawasan tanggungjawab sekitar perairan daerah ini yang turut disertai media pada jam 8.30 pagi tadi. - Bernama