PRK Tanjung Piai: Jentera PH siap siaga pastikan kemenangan PH

Dr Sahruddin
Dr Sahruddin
A
A
A

PONTIAN - Pakatan Harapan (PH) akan memastikan jenteranya bersiap siaga untuk bekerja dan bergerak bagi memastikan kemenangan PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, kesiapsiagaan jentera antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa PRK Tanjung Piai bersama Pengarah Pilihanraya PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin, malam tadi.

"Malam tadi ada pertemuan Pengarah Utama PRK Tanjung Piai dengan semua ketua-ketua portfolio, ketua pusat daerah mengundi dan ketua-ketua jentera PH.

"Pertemuan ini bertujuan memastikan jentera PH telah bersiap sedia 100 peratus bekerja dan bergerak untuk memastikan kemenangan PH di Tanjung Piai," kata Dr Sahruddin yang juga Pengarah Jentera PH untuk PRK kali ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pelancaran Program Kampungku Sihat Peringkat Daerah Pontian, di sini hari ini.

Dalam mesyuarat malam tadi, turut hadir Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Mazlan Bujang; Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai, Karmaine Sardini dan Ketua Bersatu Bahagian Ayer Hitam, Datuk Osman Sapian.

PRK Tanjung Piai akan diadakan pada 16 November ini berikutan kematian penyandang kerusi itu, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 September lepas akibat komplikasi jantung. - Bernama

Artikel Berkaitan: