DAP Johor selar Pas mahu parti itu diharamkan

Sheikh Umar Bagharib Ali - Foto fail Bernama
Sheikh Umar Bagharib Ali - Foto fail Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali hari ini menyelar tindakan Pas yang mahukan parti DAP diharamkan, kononnya atas alasan agendanya semakin membahayakan negara.

Menurut beliau, tindakan Pas itu sangat tidak beretika kerana seolah-olah sedang mendahului tugas polis yang menjalankan siasatan mengenai perkara terbabit.

Sebaliknya, Sheikh Umar turut 'menyindir' Pas agar menumpukan usaha kerjasama politik bersama UMNO berbanding hendak sibuk mengganggu tugas pihak berkuasa.

Beliau yang juga Ketua Pemuda DAP Johor berkata, jika pengharaman itu dicadangkan kerana mengambil kira alasan terbabit, beliau berpendapat UMNO dan Pas juga boleh diharamkan kerana sejarah turut menunjukkan bahawa kedua-dua parti ini pernah menghuru-harakan negara.

Ia termasuklah doktrinasi perkauman sempit UMNO yang membuatkan anggota masyarakat menjadi kacau bilau serta kesan ‘Amanat Haji Hadi’ kepada ahli parti, penyokong dan masyarakat yang menyebabkan hubungan masyarakat dan keluarga menjadi retak akibat pengaruh ‘amanat’ berkenaan.

“Tetapi dari sejarah-sejarah ini, adakah wajar UMNO dan Pas juga diharamkan? Kita berpolitik ada etika. Ada perkara bersifat politik yang hanya berbeza pendapat dan pendekatan.

“Berlawan pun ada etika di dalam gelanggang, hormatilah etika itu. Apatah lagi kita Muslim, ada tauladan yang boleh kita ambil contoh iaitu Nabi Muhammad SAW,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan itu merujuk kepada saranan Pas semalam yang mahukan kerajaan mengharamkan DAP berikutan penemuan beberapa ‘bukti’ yang dianggap ada asas untuk menyakini bahawa parti itu semakin membahayakan negara. - Bernama

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Dewan ulama Pas sokong DAP diharamkan