11 kes chikungunya direkod di Tapah sejak Januari

Virus chikungunya
Virus chikungunya
A
A
A

IPOH - Sebanyak 11 kes chikungunya dan lapan kes demam denggi dilapor berlaku di Kampung Baru Air Kuning, Chenderiang, Tapah sejak Januari hingga Khamis lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Dr Ding Lay Ming berkata, tiada sebarang kes kematian direkodkan di lokaliti tersebut.

Menurutnya, hasil pemeriksaan Jabatan Kesihatan di kawasan Air Kuning mendapati punca utama kejadian demam denggi dan demam chikungunya adalah disebabkan kadar pembiakan nyamuk aedes yang tinggi di lokaliti tersebut.

"Antara tempat pembiakan yang dijumpai di kawasan tersebut adalah tong-tong berisi air dan juga bekas plastik yang disimpan di halaman rumah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dr Ding berkata demikian mengulas kebimbangan penduduk kampung terhadap demam chikungunya yang didakwa menyebabkan ramai penduduk dijangkiti dan dimasukkan ke hospital.

Lay Ming berkata, tindakan penguatkuasaan telah dilaksanakan dengan 14 kompaun dan empat notis pembersihan di bawah Seksyen 8 (1) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 telah dikeluarkan terhadap pemilik premis yang membiak nyamuk aedes.

Katanya, Jabatan Kesihatan dan Pejabat Kesihatan Daerah Batang Padang telah melaksanakan pelbagai usaha bagi membendung kejadian demam denggi dan demam chikungunya termasuk pengesanan kes secara aktif meliputi keseluruhan kawasan Kampung Baru Air Kuning.

"Aktiviti kawalan dan pencegahan akan terus dilakukan di lokaliti Kampung Baru Air Kuning bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan penyakit ini," katanya sambil menasihati penduduk agar sentiasa peka dengan kebersihan persekitaran di sekeliling kawasan tempat kediaman. - Bernama

Artikel Berkaitan: