X

Kindly register in order to view this article
!

Kuala Lumpur perlukan lebih banyak sistem takungan banjir: Pakar

Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman
A
A

KUALA LUMPUR - Kuala Lumpur memerlukan lebih banyak sistem takungan banjir bagi mengatasi masalah banjir kilat yang kerap berlaku terutama ketika musim hujan lebat.

Pakar hidrologi sekitaran, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, sistem takungan banjir itu amat diperlukan di kawasan-kawasan berhampiran hilir Sungai Klang seperti Sungai Buloh, Shah Alam dan Petaling Jaya.

Menjadikan Jepun sebagai contoh, beliau berkata, negara itu menggunakan sistem takungan banjir yang amat efektif apabila sebuah stadium menjadi tempat bermain bola sepak pada musim kering, namun bertukar kepada kolam ketika musim hujan.

"Cara kita nak kawal ialah melalui penyuraian air banjir. Penyuraian air banjir yang paling efektif adalah melalui pembinaan sistem takungan banjir, di mana fungsinya ialah untuk menyimpan air pada waktu aras air tinggi dan akan melepaskannya apabila hujan dah berhenti," katanya.

Beliau berkata, setakat ini di ibu kota, hanya terdapat satu sistem takungan banjir di lembangan Sungai Klang yang menyalurkan air kepada sekurang-kurangnya tujuh kolam takungan.

“Pengurusan air banjir melalui Terowong SMART itu mengurangkan 45 peratus risiko banjir kepada kawasan-kawasan yang mudah banjir seperti Masjid Jamek, Lebuh Ampang, Jalan Tun Perak dan Dataran Merdeka.

“Air banjir dari Sungai Ampang dan Klang dilencongkan ke kolam takungan banjir Kampung Berembun, Taman Desa masuk melalui Terowong SMART sebelum disalurkan kembali ke Sungai Kerayong,” katanya.

Petang Selasa lalu, hujan lebat berterusan menyebabkan beberapa jalan utama di ibu negara dilanda banjir kilat dan beberapa kenderaan dilapor terperangkap. Jalan-jalan terlibat ialah Jalan Tuanku Abdul Halim di kedua-dua arah serta Lebuhraya Sultan Iskandar berhampiran susur ke Parlimen.

Sehubungan itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengenal pasti kawasan banjir kilat terlebih dahulu sebelum menambah baik sistem perparitan di sekitar ibu kota.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dilaporkan sebagai berkata, hal ini kerana setiap kawasan mempunyai sistem perparitan berbeza, yang mana ia hanya mampu menampung kapasiti air yang tertentu apabila hujan lebat.

Sementara itu, pakar pengurusan bencana Dr Rustam Zahari berkata antara punca yang paling jelas menyebabkan kawasan ibu negara mudah dilanda banjir kilat adalah kerana banyak kawasan di Kuala Lumpur kini telah menjadi 'solid surface' yang berlaku masalah aliran air.

"Puncanya yang paling terang sekarang, bandar raya ini dah banyak solid surface...jalan, turapan, bangunan. Kalau berbanding dengan kawasan kampung, mereka lebih 'hijau'.

"Di kawasan 'hijau' apabila hujan turun, air masuk ke tanah, tapi kita (ibu negara) ada solid surface, jadi perlu ada perparitan, longkang-longkang semua tu untuk mengalirkan air dan longkang-longkang ini pula kita kena selalu selenggara, supaya tidak tersumbat sebab selalu juga tersumbat akibat orang buang sampah," katanya.

Tambahnya, ada juga longkang yang kurang diselenggara kerana ketika ini di pusat bandar Kuala Lumpur terdapat banyak projek pembinaan melibatkan pengorekan tanah yang secara langsung menyebabkan tanah-tanah masuk ke longkang dan menjadi punca sistem perparitan tersumbat.

Dalam pada itu, beliau menjadikan Malang, Indonesia sebagai contoh untuk mengawal keadaan banjir apabila penduduk di kawasan itu menggunakan kaedah ‘pengumpulan air hujan’.

"Kawasan itu selalu banjir, jadi apa yang dilakukan di rumah mereka ada tempayan dan mereka tampung air. Mungkin kita boleh buat penggunaan air hujan, macam kita simpan air hujan dan gunakan untuk cuci kereta atau menyiram bunga.

“Katalah, di satu kawasan ada sejuta orang semuanya buat, bersamaan 10 juta gelen air tak pergi ke longkang," katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus