Jamal Nasir: Tempoh empat fasa penting buat skuad Tok Gajah

Pemain Tok Gajah giat menjalani latihan menjelang aksi menentang Kedah di Kuantan, malam ini. Foto: Pahang FA
Pemain Tok Gajah giat menjalani latihan menjelang aksi menentang Kedah di Kuantan, malam ini. Foto: Pahang FA
A
A
A

LEGENDA Pahang, Datuk Jamal Nasir Ismail ada menitipkan beberapa pesanan kepada skuad Tok Gajah menjelang pertemuan menentang Kedah pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam ini.

Menurutnya, peluang anak-anak buah Dollah Salleh itu untuk menempah tiket final dilihat amat cerah hasil kejayaan mereka mengikat Kedah 3-3 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Darul Aman, Alor Setar Sabtu lalu.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan barisan pemain Tok Gajah agar fokus khususnya dalam beberapa tempoh tertentu jika mereka tidak mahu berputih mata di hadapan penyokong sendiri.

“Pemain-pemain tidak harus leka dan harus mengikuti setiap arahan Dollah. Yang penting kena fokus setiap minit perlawanan terutamanya lima minit awal babak pertama kerana pada waktu itu pemain-pemain masih belum stabil.

“Mereka juga harus berwaspada dalam tempoh lima minit sebelum rehat, lima minit selepas perlawanan babak kedua bersambung dan tempoh 10 minit sebelum wisel terakhir.

“Empat fasa tersebut amat penting dan para pemain kena meningkatkan lagi kewaspadaan mereka sebab fasa itu penting sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung,” katanya kepada Sinar Harian.

Pemain Tok Gajah giat menjalani latihan menjelang aksi menentang Kedah di Kuantan, malam esok. Foto: Pahang FA
Pemain Tok Gajah giat menjalani latihan menjelang aksi menentang Kedah di Kuantan, malam esok. Foto: Pahang FA

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mengingatkan skuad Tok Gajah mengikut setiap perancangan dan taktikal Dollah dalam memastikan misi ke final pada edisi kali ini tercapai.

“Pemain-pemain kena ingat bila mereka belajar dengan jurulatih, mereka adalah anak murid bukan guru, jika pemain-pemain menganggap diri mereka guru inilah punca kepada kekalahan pasukan.

“Pemain-pemain jangan sekali-sekali terapkan dalam diri mereka lebih baik daripada jurulatih walaupun mereka berstatus bintang, pendek kata jangan terlalu lebih pandai daripada jurulatih.

“Saya percaya Pahang tiada masalah untuk mara ke final kali ini jika fokus kepada arahan jurulatih. Namun, kalau para pemain beraksi sambil lewa, saya tak boleh nak kata apa lagi,” ujar bekas tonggak skuad kebangsaan itu.