X

Kindly register in order to view this article
!

Sabah, Sarawak beralih kepada siaran TV digital mulai 31 Oktober

Gambar hiasan
A
A

CYBERJAYA - Sabah dan Sarawak akan beralih sepenuhnya kepada siaran televisyen (TV) digital myFreeview daripada siaran TV terestrial analog mulai 31 Oktober ini.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, peralihan itu menandakan berakhirnya era penyiaran TV analog di seluruh Malaysia yang ditawarkan secara percuma sejak 1963.

"Dengan fasa terakhir penutupan ini, seluruh Malaysia akan beralih sepenuhnya kepada siaran TV digital myFreeview susulan daripada proses peralihan di kawasan-kawasan wilayah tengah, selatan, utara dan timur secara berperingkat bermula 30 September 2019 yang lalu," jelasnya.

Menurut SKMM, pelbagai usaha bagi menguar-uarkan perkara itu kepada orang ramai sedang giat dijalankan oleh SKMM dan MYTV untuk memastikan warga Sabah dan Sarawak bersedia menghadapi peralihan tersebut.

Antaranya menerusi Pesanan Khidmat Masyarakat (PSA), program bual bicara di stesen-stesen TV dan radio, pengedaran risalah di tempat dan perumahan awam, pusat-pusat internet, akhbar tempatan, platform media sosial serta sesi libat urus bersama kerajaan negeri serta paparan maklumat peralihan di skrin TV.

Dalam hal ini, jelas SKMM, pihaknya dengan kerjasama MYTV akan terus memantau perkembangan semasa dan berada di lokasi bagi memastikan proses peralihan berjalan dengan lancar.

Menurutnya, siaran TV digital myFreeview menjanjikan imej gambar yang lebih tajam, bunyi berkualiti tinggi dan perkhidmatan TV interaktif yang akan memacu keperluan ekonomi, sosial dan pendidikan negara serta rakyat.

"Selain itu, penonton boleh menikmati pelbagai saluran TV, radio dan aplikasi-aplikasi baharu seperti membeli-belah dalam talian dan pembelajaran interaktif melalui 15 saluran TV dan enam saluran radio termasuk TV1, TV2, TV3, NTV7, 8TV, TV9, TV AlHijrah, dan Bernama News Channel (BNC) secara percuma tanpa sebarang yuran bulanan," maklumnya.

Menurut SKMM, mereka yang masih belum beralih kepada siaran TV Digital myFreeview boleh melihat video tutorial pemasangannya di http://www.mytvbroadcasting.my/pemasangan_video/.

Dekoder percuma turut diedarkan kepada dua juta isi rumah B40 dan mereka boleh memeriksa kelayakan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dengan menaip MYTV (jarak) DEKODER (jarak) (nombor kad pengenalan) dan hantar ke 15888 atau melayari laman www.mytvbroadcasting.my/B40 atau hubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan myFreeview di talian 1-300-80-6988 atau 1800-18-1088. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus