Selesaikan segera projek lebar jalan, parit elak banjir kilat

Penduduk tempatan, Hasan Baharudin, 62, beranggapan bahawa projek pembinaan parit dan pelebaran jalan berhampiran yang tidak teratur menyebabkan air terperangkap dan melimpah ke rumah ketika hujan lebat hingga berlakunya banjir kilat di Kampung Pulai. -fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
Penduduk tempatan, Hasan Baharudin, 62, beranggapan bahawa projek pembinaan parit dan pelebaran jalan berhampiran yang tidak teratur menyebabkan air terperangkap dan melimpah ke rumah ketika hujan lebat hingga berlakunya banjir kilat di Kampung Pulai. -fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
A
A
A

JASIN - Penduduk di negeri ini berharap agar semua projek melibatkan pelebaran jalan dan pembinaan parit dilaksana dengan cara yang terancang bagi mengelakkan kejadian banjir kilat.

Tinjauan Bernama di Jasin, penduduk di kawasan Kampung Pulai dan Taman Pulai Indah merupakan antara yang terkesan dipercayai akibat kegagalan pelaksanaan projek itu dengan berkesan apabila rumah mereka dilanda banjir kilat kelmarin.

Seorang penduduk, Hasan Baharudin, 62, berkata, projek tersebut wajar dipercepatkan selain berharap ia dapat dilaksanakan dengan teratur serta sistematik supaya masalah banjir kilat tidak berulang.

"Projek perparitan ini sememangnya diperlukan kerana sebelum ini kawasan kediaman di tanah yang lebih rendah sering kali menghadapi masalah tersebut, tetapi banjir kilat kali ini lebih teruk disebabkan pembinaan yang tidak terancang menyebabkan air terperangkap dan melimpah ke rumah hingga dinaiki air kira-kira 0.9 meter.

"Kita berharap pihak berkaitan dapat meneliti perancangan mereka di masa hadapan agar masalah ini tidak berulang kerana ia akan menyusahkan penduduk," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Azizah Mansor, 59, berkata, rumahnya dinaiki air sekiranya hujan lebat berterusan dalam tempoh 10 hingga 15 minit disebabkan kawasan rumahnya rendah dan kawasan longkang di Taman Pulai Indah turut melimpah sehingga ke jalan raya ketika hujan lebat namun tidak memasuki rumah penduduk.

"Banjir kilat ini juga telah menyebabkan kami mengalami kerugian kerana barangan termasuk perabot rosak, mesin basuh, pakaian dan sebagainya rosak ditenggelami air, oleh itu saya berharap isu yang berlaku dapat diselesaikan segera," katanya.

Sementara itu, di Ayer Keroh beberapa kawasan turut mengalami banjir kilat selepas hujan kira-kira jam 3 petang kelmarin, antaranya, rumah pam Kampung Sungai Putat, kawasan Taman Seri Jati dan rumah pam Melaka Baru.

Artikel Berkaitan:

Ahli Dewan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee dalam kenyataannya berkata, pihaknya telah melawat kawasan terjejas bagi mengkaji dan memantau keberkesanan beberapa inisiatif yang telah dilaksanakan bagi mengurangkan risiko banjir kilat.

Katanya, berikutan paras air Sungai Putat tidak tinggi, maka tidak menyebabkan berlakunya banjir kilat di kawasan berisiko seperti Kampung Sungai Putat, Taman Seri Jati dan Bukit Beruang Indah.

"Bukannya senang untuk selesaikan sepenuhnya masalah banjir kilat di kawasan tersebut kerana banyak rintangan yang dihadapi seperti sistem perparitan yang tersumbat, faktor geografi kawasan yang rendah, dan longkang yang telah usang.

"Saya dan pasukan akan sentiasa memantau dan membuat penambah baikan selain akan terus bekerjasama dengan pihak berkenaan untuk terus mencari jalan penyelesaian yang lebih berkesan supaya apa yang dilakukan diharapkan risiko banjir kilat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh dapat dikurangkan," katanya.- Bernama