Menteri Perdagangan Jepun letak jawatan

Isshu Sugawara - Foto AGENSI
Isshu Sugawara - Foto AGENSI
A
A
A

TOKYO - Menteri Perdagangan baharu Jepun telah mengemukakan surat peletakan jawatannya selepas dituduh melanggar undang-undang pilihan raya berikutan dakwaan dia menawarkan wang dan hadiah kepada pengundi, kata Perdana Menteri, Shinzo Abe hari ini.

Kedudukan Isshu Sugawara menjadi 'panas' selepas sebuah majalah melaporkan bahawa beliau disyaki terbabit membayar 20,000 yen (RM770) kepada sebuah keluarga di Parlimennya.

Menerusi laporan Kyodo, beliau juga dilaporkan memberi hadiah kepada pengundi lain, termasuk buah tembikai dan ketam segar yang mahal.

Jumlah yang terlibat walaupun kecil, dianggap melanggar undang-undang Pilihan Raya Jepun.

Shinzo berkata, Isshu mengemukakan surat peletakan jawatan selepas mesyuarat Kabinet dan beliau menerima keputusan berkenaan.

“Saya bertanggungjawab kerana telah melantik beliau dan dengan ini, meminta maaf kepada semua rakyat Jepun,” katanya.

Menurut Shinzu, jawatan disandang Isshu akan digantikan oleh Hiroshi Kajimaya, bekas menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal luar bandar.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, Isshu berkata, beliau tidak berniat menyebabkan perkara itu berlaku.

Artikel Berkaitan:

Beliau dilantik dalam rombakan Kabinet baru-baru ini tetapi tidak terbabit memegang portfolio utama yang bertanggungjawab mengendalikan rundingan bersama Amerika Syarikat.

Tugas berkenaan kekal di bawah seliaan bekas Menteri Perdagangan, Toshimitsu Motegi yang kini menyandang portfolio Menteri Luar. - AFP