X

Kindly register in order to view this article
!

Campur tangan PSM jadi punca kemelut?

Beberapa pemain utama Penang Black Panthers turut menarik diri daripada saingan STL.
A
A

TIADA persefahaman dengan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) menjadi punca pihak pengurusan dan empat pemain Penang Black Panthers mengambil keputusan mengejut mengundur diri daripada saingan Liga Sepak Takraw (STL) 2019.

Tanpa mendedahkan punca sebenar, bekas Pengurus Penang Black Panthers, Abd Hafiz Abd Majid menjelaskan bahawa keputusan untuk menarik diri itu sudah dibincangkan dengan Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail.

“Kami mengambil keputusan berundur ini dengan cara baik selepas mengadakan perbincangan dengan PSM. Apa yang boleh saya katakan, keputusan itu diambil sebab tiada persefahaman antara kami dan persatuan.

“Saya juga berterima kasih kepada semua pihak yang memberikan kepercayaan kepada kami membawa pasukan selama dua musim,” katanya kepada Sinar Harian.

Difahamkan, kemelut tersebut berpunca daripada campur tangan PSM yang menggugurkan dua jurulatih Penang Black Panthers tanpa melakukan perbincangan dengan pengurusan pasukan itu.

Menurut sumber, perbincangan diadakan dengan PSM untuk cuba mengekalkan kedua-dua jurulatih itu, namun PSM tetap dengan pendirian mereka.

“Banyak sebenarnya kemelut berlaku tetapi yang paling besar adalah tindakan PSM menggugurkan dua jurulatih pasukan tanpa alasan munasabah.

"Kalau nak kata prestasi tak bagus, Penang sekarang berada di kedudukan pertama liga," katanya.

Katanya, PSM menggugurkan jurulatih tersebut kerana mereka tidak mengikut arahan PSM yang mahukan pemain tertentu diturunkan beraksi dalam setiap perlawanan.

“Contohnya, PSM mahukan ‘pemain A’ beraksi tetapi apabila tanya ‘pemain A’, dia kata tak yakin untuk main. Jadi pasukan turunkan pemain lain. Itu pun dikira melanggar arahan persatuan,” katanya.

Dakwanya lagi, tindakan pengurus pasukan menarik diri turut memberikan kesan kepada staf kejurulatihan yang membuat keputusan sama termasuk empat pemain, Amir Syahiran Mohd Fuzi, Muhammad Zaim Razali, Purached Yodsaen dan Aekkasitt Naphom.

“Kesemua mereka yang mengambil keputusan menarik diri bukan atas paksaan, sebaliknya dengan rela hati,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!