Jejantas runtuh: 4 jam keluarkan pemandu lori tersepit

Jejantas runtuh menghempap kepala lori.
Jejantas runtuh menghempap kepala lori.
A
A
A

SHAH ALAM - Anggota bomba mengambil masa lebih empat jam bagi mengeluarkan seorang lelaki yang tersepit di bahagian tempat duduk selepas lori dipandu melanggar sebuah jejantas berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Kebun malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I Hafisham Mohd Noor berkata, pasukannya juga terpaksa menggunakan bantuan kren bagi mengangkat struktur jejantas yang menghempap lori terlebih dahulu sebelum mangsa dapat dikeluarkan.

Menurutnya, mangsa berusia 24 tahun itu cedera parah di kedua bahagian tangan dan kaki dan berjaya dikeluarkan pada jam 2.30 pagi selepas tersepit dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 10 malam.

"Bomba menerima panggilan pada jam 10.02 malam memaklumkan kejadian sebelum 11 anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam tiba di lokasi 18 minit kemudian.

"Laporan awal diterima memaklumkan kemalangan melibatkan sebuah lori yang melanggar jejantas pejalan kaki hingga menyebabkan struktur jejantas jatuh menimpa kepala lori," katanya.

Anggota bomba ketika mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Anggota bomba ketika mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Hafisham berkata, bomba cuba mengeluarkan mangsa namun tidak berjaya sebelum mendapatkan khidmat kren bagi mengangkat struktur jejantas tersebut.

Menurutnya, mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Sinar Harian melaporkan jejantas tersebut dipercayai runtuh apabila terkena 'bucket' lori yang melalui kawasan berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Jejantas runtuh: Pemandu lori tersepit

Keadaan jejantas berkenaan yang tidak selamat dan cuaca hujan menyebabkan operasi menyelamat berdepan sedikit kesukaran.

Keadaan jejantas yang runtuh sebelum menghempap kepala lori.
Keadaan jejantas yang runtuh sebelum menghempap kepala lori.