Barangan keperluan Deepavali mencukupi

Salahuddin Ayub
Salahuddin Ayub
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memberi jaminan bekalan makanan adalah mencukupi sempena perayaan Deepavali yang akan disambut pada Ahad ini.

Menterinya Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, setakat ini pihaknya tiada apa-apa aduan mengenai kekurangan barangan makanan dilaporkan terutamanya melibatkan bahan mentah yang mendapat permintaan tinggi semasa perayaan Deepavali.

"Bagi bekalan seperti kelapa, kita mempunyai bekalan yang mencukupi dan kita akan pantau dari semasa ke semasa dan jika ada berlaku kekurangan pihak kementerian akan menambahkan bekalan bagi pastikan tiada peningkatan harga terjadi semasa musim perayaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) peringkat Selangor anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di pusat membeli-belah Aeon Mall Shah Alam di sini hari ini yang disempurnakan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Katanya program itu yang pada tahun lepas yang hanya disertai oleh sebuah pasar raya besar di sini kini telah berkembang sehingga ke lapan buah pasar raya di seluruh negara.

"Pada September tahun lepas lokasi pasar raya pertama bermulanya program ini ialah di AEON Mall Shah Alam ini, kemudian ianya telah diperluaskan ke lapan buah pasar raya di seluruh negara.

Dari bulan Mac tahun ini sehingga September lepas jumlah jualan keseluruhan program JTDR di pasar raya dan di outlet-outlet lain adalah sebanyak RM 5.6 juta," katanya.

Katanya lagi kementeriannya akan sentiasa mempergiatkan program-program seumpama ini agar ia menjadi destinasi untuk para pengguna mendapatkan hasil ladang yang segar dengan harga yang berpatutan. - Bernama

Artikel Berkaitan: