X

Kindly register in order to view this article
!

Kes Bafia: Keputusan rayuan Rafizi 15 November ini

Rafizi dikerumuni penyokongnya ketika hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan 15 November depan bagi keputusan permohonan rayuan berhubung sabitan dan hukuman penjara 30 bulan terhadap Naib Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli dan kerani bank, Johari Mohamad yang didakwa melanggar Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (Bafia) tahun lalu.

Hakim Mohamad Yazid Mustafar menetapkan tarikh itu selepas mendengar penghujahan Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan peguam, Ahmad Nizam Hamid yang mewakili Rafizi serta Zaid Malek yang mewakili Johari.

Terdahulu, Mohamad Yazid meminta peguam menyerahkan transkrip perbicaraan itu kepada mahkamah dalam tempoh 10 hari bermula dari tarikh hari ini untuk tujuan penelitian semula.

Pekarangan mahkamah turut sesak dengan kehadiran penyokong Rafizi dan beberapa tokoh PKR, termasuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Penyokong Rafizi turut melaungkan 'reformasi' selepas prosiding selesai.

Pada Februari tahun lalu, Hakim Zamri Bakar menjatuhkan hukumkan penjara 30 bulan kepada Rafizi dan Johar kerana mendedahkan empat akaun bank berkaitan National Feedlot Corporation (NFC) dan pengerusinya, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail.

Seorang lagi tertuduh yang juga bekas kerani bank, Johari Mohamad, 47, turut dijatuhi hukuman sama atas dakwaan bersubahat dengan Rafizi.

Mereka dituduh mendedahkan dokumen penyata baki akaun NFC National Meat & Livestock Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan akaun bank Mohamad Salleh.

Hakim membenarkan penangguhan hukuman ke atas mereka hingga keputusan rayuan dengan ikat jamin RM15,000 seorang.

Rafizi sebelum ini mengaku tidak bersalah mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank itu kepada perunding media Yusof Abdul Alim dan pemberita The Star, Erle Martin Carvalho.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Ibu Pejabat PKR di Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan, Petaling Jaya pada 7 Mac 2012.

Rafizi didakwa mengikut Seksyen 97(1) Bafia yang boleh dihukum di bawah Seksyen 103(1)(a) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.