Dokumentasikan sejarah pembinaan masjid di Perak: Sultan Nazrin

Sultan Nazrin bersalaman dengan hadirin selepas menyampaikan titah sempena Persidangan Jawatankuasa Kariah Peringkat Negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru, Bandar Meru Raya di sini hari ini.
Sultan Nazrin bersalaman dengan hadirin selepas menyampaikan titah sempena Persidangan Jawatankuasa Kariah Peringkat Negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru, Bandar Meru Raya di sini hari ini.
A
A
A

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan agar sejarah pembinaan masjid dan surau negeri ini didokumentasikan untuk tatapan generasi akan datang.

Menurut baginda, setiap masjid dan surau di negeri ini memiliki identiti dan mempunyai sejarah tersendiri di sebalik pembinaannya.

Baginda berkata, pelbagai cerita terkandung ketika pembinaan masjid-masjid dan surau-surau ini sama ada dari segi asal-usul, tapak pembiayaan, niat, cabaran, halangan, usaha, pengorbanan dan tenaga penggerak.

"Bahan-bahan sejarah tersebut sebaiknya diselidiki dan dihimpunkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), didokumentasikan secara digital sebagai bahan ilmiah berharga untuk dijadikan bahan rujukan agar generasi terkemudian mengenali dan memahami asal-usul pembinaan rumah-rumah ALLAH ini dan tidak mengambilnya secara mudah lantas bersifat kacang lupakan kulit tidak menghargai penat jerih, jasa bakti dan pengorbanan generasi terdahulu yang mengambil tanggungjawab mengusahakan pembinaan masjid-masjid di negeri Perak.

"Rekod menunjukkan terdapat 609 masjid, 63 surau diri Jumaat, dan 1,945 surau di negeri Perak ketika ini. Setiap masjid begitu juga surau, memiliki salah silah sejarah tersendiri," titah baginda sempena Persidangan Jawatankuasa Kariah Peringkat Negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru, Bandar Meru Raya di sini hari ini.

Sultan Nazrin antaranya mengambil contoh sejarah pembinaan Masjid Panglima Kinta di Ipoh iaitu antara masjid tertua di Perak yang kini berusia 121 tahun serta diwartakan sebagai bangunan warisan di Perak.

Menurut baginda, masjid berkenaan dibina oleh Orang Kaya-Kaya Dato’ Panglima Kinta Mohamad Yusoff Lassam dengan harga RM15,000 pada tahun 1898 sebagai tanda kasih amat mendalam dan memperingati isteri beliau Saaidah Chik yang meninggal dunia pada tahun tersebut.

Sementara itu baginda bertitah, catatan sejarah menunjukkan bandar Ipoh diterokai oleh masyarakat Melayu di bawah pimpinan Dato’ Panglima Kinta pada abad ke-19 bermula dengan perkampungan Melayu bernama Paloh yang terletak sebuah masjid tertua di Ipoh iaitu Masjid Kampung Paloh.

Artikel Berkaitan:

Jelas baginda, masjid yang dibina dibina pada tahun 1912 itu atas daya usaha Orang Kaya-Kaya Dato’ Seri Adika Raja Wan Muhammad Saleh Wan Abu Bakar yang merupakan Ketua Penghulu dan Pembantu Pemungut Hasil Tanah semasa pentadbiran Frank Swettenham.

Baginda bertitah, dalam usaha pembinaan masjid itu, terdapat tiga penyumbang utama iaitu pertama, Toh Puan Saripah Duakap yang tidak mempunyai anak telah mewakafkan tanah beliau diikuti Dato Panglima Bukit Gantang Mahmud Mohd Taib dan ketiga, hartawan Haji Long Mohd Kassim Ngah Banja Jugra yang merupakan cucu kepada Panglima Kinta Ngah Sudin.

"Masjid Toh Puan Besar Khatijah di Batu Gajah, dibangunkan di atas tapak asal tanah yang diwakafkan oleh keluarga nenda Beta, Toh Puan Besar Khatijah untuk pembinaan masjid pada tahun 1930.

"Pada tahun 2006, masjid ini dititahkan dibina semula oleh Paduka Ayahanda Beta, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah (Marhum Al-Maghfur-Lah), sebagai lambang pengabadian penghargaan seorang putera kepada seorang bonda, dan pengabadian kasih sayang Almarhum kepada seorang kakanda dengan menamakan dewan serba guna di Masjid tersebut, Dewan Raja Baharom Shah," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, antara perkara yang dapat dipelajari di sebalik kisah pembinaan beberapa masjid tersebut adalah penglibatan langsung dan penglibatan aktif raja pemerintah dan Orang Besar Negeri dalam pembinaan masjid-masjid utama di negeri Perak selain dermawan yang menyediakan dana serta para pewakaf yang menyediakan tapak untuk tujuan pembinaan masjid.

Selain itu, titah baginda, di dalam pembinaan masjid itu terdapat persefahaman, keterbukaan minda, toleransi dalam menerima perbezaan dengan membenarkan mazhab dan kaum berlainan membina masjid yang berasingan dengan reka bentuk berlandaskan budaya masing-masing.

Jelas baginda, keadaan itu mengabsahkan bahawa Islam itu bukan milik orang Melayu dan dianuti oleh orang Melayu sahaja.