X

Kindly register in order to view this article
!

Tertuduh kes dera kanak-kanak digugurkan keanggotaan APM

A
A

KLANG - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengesahkan Mohd Sazry Mohd Taha yang merupakan tertuduh berhubung kes dera sehingga menyebabkan kematian seorang kanak-kanak telah digugurkan keanggotaan kerana tidak aktif dalam agensi itu.

Menerusi kenyataan media, APM turut memaklumkan keperibadian tertuduh itu secara jelas tidak menggambarkan keseluruhan lebih daripada dua juta anggota APM yang berdaftar.

Menurutnya, tindakan Mohd Sazry dalam kes tersebut tiada kaitan dengan agensi berkenaan.

"APM berpendirian tegas dan tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana anggota yang melanggar undang-undang atau melakukan sebarang bentuk jenayah yang boleh mencemarkan nama dan imej APM," kata kenyataan itu.

Terdahulu media melaporkan Mohd Sazry, 36, didakwa di Mahkamah Majistret Klang di sini kelmarin atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang kanak-kanak berusia empat tahun akibat penderaan September lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad' Azzam Zainal Abidin.

Mohd Sazry didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian Zahira Sofea Ahmad Muizz, 4, di Lot 590 Lorong Yunus Kampung Sungai Udang, Klang antara jam 1petang pada 28 September hingga 29 September.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus