Mapim ketuai delegasi ke Kashmir

Mohd Azmi
Mohd Azmi
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) akan mengetuai Lawatan Delegasi Ahli Parlimen ASEAN ke Kashmir bermula 4 hingga 8 November depan.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Mapim telah diberi mandat oleh Kementerian Luar Negara Pakistan dan Speaker Parlimen Pakistan untuk mengendalikan lawatan tersebut bagi memberi peluang kepada ahli-ahli Parlimen dan aktivis hak asasi manusia sekitar ASEAN untuk memahami kedudukan terkini konflik sedang berlaku di Jammu Kashmir.

Mohd Azmi berkata, pihaknya telah mengenalpasti ahli Parlimen di beberapa buah negara ASEAN yang bakal mengikuti lawatan tersebut terdiri dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, Thailand dan Kemboja.

"Tujuan lawatan ini adalah supaya pihak berkenaan mendengar sendiri perkembangan yang dihadapi oleh warga Kashmir dan kami juga akan mendengar taklimat daripada badan bukan kerajaan (NGO) tempatan di sana.

"Berdasarkan lawatan itu kami berharap agar pihak yang mengikuti lawatan ini dapat kembali semula ke negara masing-masing dan menerangkan kepada kerajaan serta rakyat mereka tentang gambaran jelas berhubung perkembangan di sana," katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut Mohd Azmi berkata, pihaknya juga berharap lawatan ini dapat menghubungkan masyarakat sivil dan ahli-ahli politik di ASEAN supaya lebih dekat dengan isu di Kashmir di samping menjalinkan hubungan erat dalam menyatakan pendirian masing-masing.

Beliau berkata, melalui lawatan itu pihaknya berharap agar maklumat tersebut dapat dimanfaatkan dalam misi bagi melaksanakan kempen advokasi untuk kedamaian serantau.

"Ini adalah kerana jika konflik ini bertukar perang antara Pakistan dan India, kita akan lihat satu ketegangan yang agak sukar untuk diredakan kerana keduanya adalah merupakan negara nuklear," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Mohd Azmi berkata, pihaknya kini sedang membuat kutipan orang ramai bagi membeli sebuah ambulans untuk disumbangkan bagi kegunaan pelarian di sana susulan daripada konflik yang berlaku tersebut.

Buat masa ini, beliau berkata, Mapim berjaya mengumpul sebanyak RM60,000 bagi membeli ambulans berkenaan yang dijangka akan dihantar pada pertengahan November ini.

"Kita cadang untuk hantar ambulans berkenaan pada pertengahan November ini namun jika tak sempat, mungkin kita akan anjak sedikit tarikh penghantaran pada bulan Disember depan di mana terdapat satu lagi misi akan dilaksanakan pada waktu itu," katanya.

Sehubungan itu mana-mana pihak yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank: 558220605312 Dana Mapim.