Identiti wanita maut dihempap pokok dekat UM dikenal pasti

Proton Saga yang remuk di bahagian belakang kereta akibat dihempap pokok tumbang di UM petang tadi. Gambar kanan: Mangsa disahkan maut akibat dihempap pokok sewaktu melalui jalan itu petang tadi. - Foto JBPM KL
A
A

KUALA LUMPUR - Identiti mangsa yang maut dihempap pokok tumbang di pintu masuk Universiti Malaya (UM) petang tadi adalah wanita warga Indonesia.

Ketua Polis Daerah Brickfiels, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin @Hilmi berkata, mangsa berumur 41 tahun itu dipercayai sedang berjalan kaki keluar dari universiti berkenaan dalam kejadian jam 5.45 petang.

Menurutnya, pihak polis sedang mengesan waris atau individu yang mengenali mangsa bagi membantu siasatan.

"Lebih kurang jam 5.45 petang, IPD Brickfields menerima panggilan dari seorang pengawal keselamatan UM memaklumkan kejadian satu pokok tumbang dan melibatkan seorang wanita dihempap pokok serta maut di lokasi kejadian.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan mangsa dikeluarkan dari bawah pokok dengan bantuan anggota dari Balai Bomba Penyelamat Taman Desa," katanya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik PPUM untuk bedah siasat.

"Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian atau mengenali mangsa diminta menghubungi polis IPD Brickfields di talian 03-2297 9222 bagi membantu siasatan," katanya.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan kejadian seorang wanita yang identitinya belum dikenal pasti maut dihempap pokok tumbang di pintu masuk UM petang tadi.

Kejadian sama turut mengakibatkan tiga kenderaan iaitu Proton Saga, Toyota Vios dan Perodua Myvi yang diletakkan di kawasan berhampiran turut terjejas dihempap pokok tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita maut dihempap pokok depan pintu masuk UM