PAC kemuka tiga syor kepada Khazanah atasi kerugian

Noraini - Foto fail
A
A

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen hari ini mengesyorkan supaya Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) melaksanakan pelaburan secara strategik dan profesional tanpa ada pengaruh politik.

Pengerusinya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, Khazanah juga perlu meneruskan perancangan dan tindakan strategi baharu untuk mengawal risiko pelaburan syarikat seperti yang telah dimaklumkan kepada PAC Parlimen.

Ini merupakan antara tiga syor yang dikemukakan PAC Parlimen kepada kerajaan bagi tujuan penambahbaikan Khazanah untuk mengatasi masalah kerugian seperti yang dialami tahun lepas iaitu sebanyak RM6.3 bilion berbanding keuntungan sebanyak RM2.9 bilion pada 2017.

"Selain itu, Khazanah juga perlu mengemukakan laporan maklum balas pelaksanaan syor-syor kepada PAC Parlimen dalam masa setahun dari tarikh laporan ini dibentangkan di Dewan Rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noraini berkata, keputusan PAC Parlimen untuk mengadakan prosiding terhadap kerugian pelaburan Khazanah pada 1 April lalu, timbul selepas pelbagai spekulasi dalam kalangan rakyat apabila dana harta negara (sovereign wealth fund), melaporkan kerugian itu dalam 'Khazanah Annual Review 2019: 2018 In Review & Khazanah's Refreshed Mandate' yang diterbitkan pada 5 Mac lalu.

Katanya, prosiding diadakan dengan memanggil Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Mohd Zuki Ali selaku Pegawai Pengawal kepada Khazanah dan Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan sebagai saksi bagi memberikan keterangan dan penjelasan kepada PAC Parlimen.

ARTIKEL BERKAITAN: Azmin dedah 84 aset Khazanah dijual ketika pentadbiran Najib

Menurut kenyataan itu, ketika prosiding berkenaan, Mohd Zuki dan Shahril Ridza memberikan penjelasan serta keterangan kepada PAC Parlimen berhubung penstrukturan dan penyusunan semula Khazanah selepas tertubuhnya kerajaan baharu susulan Pilihan Raya Umum ke-14.

Berdasarkan keterangan kedua-dua saksi itu, Noraini berkata, PAC Parlimen berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh Khazanah mengenai kerugian RM6.3 bilion dalam 2018.

Katanya, PAC Parlimen mengambil maklum tentang polisi kerajaan yang dilaksanakan secara mendadak terutama dalam sektor telekomunikasi telah memberi impak besar kepada beberapa syarikat telekomunikasi yang dimiliki kerajaan melalui Khazanah.

"PAC Parlimen mengambil maklum bahawa strategi pelaburan terdahulu yang mempunyai risiko terlalu tinggi kerana lebih kurang 80 peratus ke 85 peratus adalah tertumpu kepada 9-10 syarikat sahaja. Strategi ini telah mendedahkan Khazanah kepada risiko pelaburan yang tinggi," katanya. - Bernama