Mangsa banjir di Johor meningkat

Penyediaan makanan untuk mangsa banjir di pusat penempatan sementara di Pontian. -Foto APM Johor
A
A

JOHOR BAHRU - Mangsa yang terjejas akibat banjir di Pontian bertambah kepada 596 orang melibatkan 132 keluarga setakat jam 4 petang tadi.

Exco Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar, Tan Chen Choon berkata, sebuah lagi kampung terjejas di daerah Pontian hari ini.

"Kawasan terjejas setakat ini enam buah kampung di Pontian dan satu lagi di Gelang Patah.

"Kampung Jasa Sepakat di Pontian yang terbaharu terjejas akibat banjir menjadikan jumlah keseluruhan mangsa meningkat kepada 596 orang hari ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kampung lain yang terjejas ialah Kampung Parit Basilam, Kampung Maju Jaya, Kampung Melayu Batu 30, Kampung Ulu Pulai dan Kampung Seri Bunian serta Kampung Pulai di Gelang Patah.

Sehingga kini enam pusat penempatan sementara (PPS) telah dibuka di Johor selepas banjir melanda di daerah Pontian dan Johor Bahru sejak kelmarin.

"Seramai 30 mangsa daripada enam keluarga ditempatkan di Madrasah Parit Basilam, 75 lagi mangsa dipindahkan di SK Parit Hj Adnan dan 98 lagi mangsa ditempatkan di SK Seri Bukit Panjang.

"Seramai 77 lagi mangsa ditempatkan di Dewan Masjid Kampung Ulu Pulai dan 83 mangsa di Kg Sri Bunian," katanya.

Tambahnya, seramai 233 mangsa daripada 48 keluarga ditempatkan di SK Kg Pulai, Gelang Patah sejak dibuka 2.45 petang semalam.