Polis rakam keterangan pelukis, penaja komik propaganda

Huzir Mohamed - Foto Bernama
Huzir Mohamed - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis telah memanggil pelukis dan bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau untuk memberi keterangan di Bukit Aman berhubung penerbitan komik yang didakwa berunsur propaganda hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya juga merakam percakapan pengurus sebuah muzium penaja buku tersebut bagi membantu siasatan berhubung isu itu.

"Kita turut menyambung rakaman percakapan Kuan Yu sebagai pengarang buku itu, banyak soalan yang perlu ditanya kepada dia," katanya pada sidang media tadi.

Beliau berkata, polis juga akan mendapatkan pakar sejarah bagi mendapatkan kesahihan berkaitan fakta sejarah di dalam komik berkenaan.

Menurutnya, pihaknya juga telah membuat lawatan ke kilang percetakan komik tersebut pada 1 Oktober lalu di Shah Alam selain mengambil gambar dan merakam percakapan dua saksi daripada syarikat terbabit.

"Kita juga telah membuat permohonan ke Perpustakaan Negara berkenaan pengeluaran ISBN (International Standard Book Number) terhadap tajuk buku ini," katanya.

Tambahnya, polis turut merampas buku komik itu dan menghantar ke Kementerian Dalam Negeri untuk semakan sama ada komik yang diterbitkan dalam tiga bahasa iaitu Melayu, Cina dan Inggeris telah mendapat kebenaran pencetakan.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu telah menerima 46 laporan polis dari seluruh negara berhubung isu tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Paling tinggi di Pulau Pinang iaitu sebanyak 26 laporan polis. Kita telah buka kertas siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948," katanya.

Dalam kenyataan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini memaklumkan siasatan wajar dibuat selepas hasil laporan awal bahagian keselamatan kementerian mendapati kandungan komik itu mempunyai perkara tidak benar.

Terdahulu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam hantaran menerusi laman Facebooknya mempersoalkan komik itu yang didakwa satu propaganda yang memburukkan negara.

Najib turut memuat naik gambar sepucuk surat kebenaran dan beberapa helaian muka surat komik 'Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama' tersebut yang didakwa menyebarkan propaganda itu.