Lelaki warga asing buat aksi tidak senonoh

Paparan video yang menunjukkan lelaki warga asing dalam keadaan mabuk cuba memecah masuk rumah seorang wanita di sebuah pangsapuri, Damansara.
A
A

DAMANSARA - Perkongsian video seorang lelaki dipercayai warga asing dalam keadaan 'mabuk' melakukan aksi tidak senonoh di hadapan pintu rumah seorang wanita sebuah pangsapuri di sini mengundang pelbagai reaksi daripada warganet.

Video yang berdurasi dua minit dan 20 saat itu dirakam seorang lelaki selepas dia terdengar jeritan jirannya kira-kira jam 1.30 pagi kelmarin.

Seorang remaja, Muhammad Daniel Mokhtar berkata, ketika itu dia di dalam bilik sebelum terdengar jirannya meminta tolong.

"Pada mulanya saya ingatkan mereka suami isteri bergaduh tapi lama kelamaan suaranya makin kuat dan saya dengar dia minta tolong.

"Saya bersama ayah segera lihat apa yang berlaku dan ternampak seorang lelaki warga asing dalam keadaan mabuk melakukan aksi tidak senonoh dan cuba masuk ke dalam rumah jiran," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Dalam pada itu, Muhammad Daniel menafikan dakwaan setengah netizen bahawa dia dan ayahnya serta pengawal keselamatan hanya bertindak mendiamkan diri dan tidak menghalang warga asing tersebut.

Menurutnya, dia bersama ayahnya dan seorang pengawal keselamatan tidak mahu bertindak sesuka hati kerana lelaki tersebut dalam keadaan mabuk.

“Itu yang warganet nampak dalam video saja. Tapi sebenarnya sebelum dan selepas rakaman tu, ayah dan pengawal keselamatan ada tarik lelaki itu tapi dia masih berkeras dan berpaut pada gril rumah jiran.

"Ada juga yang persoalkan kenapa kami tidak pukul saja lelaki itu. Walaupun dia mabuk tapi dia masih dalam keadaan terkawal dan buat apa nak lakukan kekerasan kerana masa itu kami tengah tunggu polis datang,” katanya.

Katanya, lelaki warga asing itu kemudiannya ditahan pihak polis.