Luluh hati isteri tahu suami terlibat kes pecah rumah

Nor Azmi (tengah) bersama pegawainya menunjukkan barangan dirampas pada sidang media di Sabak Bernam di sini hari ini.
Nor Azmi (tengah) bersama pegawainya menunjukkan barangan dirampas pada sidang media di Sabak Bernam di sini hari ini.
A
A
A

SABAK BERNAM - Luluh hati seorang isteri apabila mengetahui suaminya yang meminjam motosikalnya rupa-rupanya terlibat dalam kes pecah rumah di Parit 1 Timur, Jalan Baru Sungai Panjang, Ahad lalu.

Kejadian kira-kira jam 1.10 pagi itu berlaku ketika suspek berusia 30 tahun itu memecah masuk sebuah rumah membabitkan kehilangan sebuah komputer riba dan wang tunai RM50.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, isteri mangsa berusia 27 tahun yang menetap di Klang tidak mengetahui kegiatan suspek sebelum dihubungi polis memaklumkan kejadian terbabit.

"Polis menghubungi isteri suspek memaklumkan suaminya terlibat dalam kes pecah rumah berdasarkan aduan mangsa yang memaklumkan orang awam ternampak suspek dalam keadaan mencurigakan.

"Malah suspek terus melarikan diri selepas ditegur dan orang awam sempat mengingat nombor pendaftaran motosikal yang digunakan suspek," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam hari ini.

Nor Azmi berkata, berdasarkan nombor pendaftaran motosikal terbabit, polis menghubungi isteri suspek bagi membantu siasatan.

"Malah, isteri suspek memulangkan semula komputer riba dan wayar pengecas yang dicuri suaminya kepada pihak polis kira-kira jam 1 petang kelmarin," katanya.

Katanya, bertindak atas bantuan isteri suspek, lelaki terbabit ditahan sepasukan polis di Jalan Menteri di sini kira-kira jam 4.30 petang semalam.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, hasil semakan polis mendapati suspek juga sebelum ini memiliki satu rekod jenayah kes curi rumah.

"Sehingga kini, suspek masih ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.