Ahli Parlimen pun ada stres: Timbalan Menteri Kesihatan

Boon Chye
A
A

KUALA LUMPUR - Semua pekerjaan mempunyai stres termasuklah tugas sebagai Ahli Parlimen.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, pihak kementerian memandang serius permasalahan kemurungan dihadapi individu yang gagal menangani stres.

Menurutnya, penglibatan komuniti dan badan bukan kerajaan (NGO) bersama agensi kerajaan lain amat penting terutama dalam melaksanakan program berkaitan.

"Bukan golongan 'help giver' sahaja yang mempunyai masalah dari segi stres. 'Houseman', jururawat, pakar-pakar, kakitangan kerajaan pun ada stres.

"Ahli Parlimen pun ada stres... sebab itu kita perlu meningkatkan keupayaan komuniti dalam mengesan dan menangani masalah kemurungan dalam kalangan rakan-rakan yang ada kemungkinan hadapi stres tapi gagal menanganinya.

"Mesti ada penglibatan NGO dan agensi lain, bukan bergantung kepada Kementerian Kesihatan sahaja," katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Kuching) mengenai penjagaan kesihatan dan kesejahteraan mental.

Dalam pada itu dalam soalan lisan, RSN Rayer (PH-Jelutong) bertanyakan langkah diambil kementerian dalam mengurangkan kejadian bunuh diri.

Menurut Boon Chye, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada 2017 mendapati tingkah laku bunuh diri dalam kalangan remaja berusia antara 13 dan 17 tahun menunjukkan peningkatan tren bagi idea bunuh diri berbanding 2012.

Katanya, antara tahun 2014 hingga 2019, sebanyak 356 kes dilaporkan dengan kematian Cina dengan 147 kes, India (76), Melayu (47) dan kaum lain (17) manakala 69 kes lagi warga asing.

"Bagi menangani masalah ini, kementerian menyediakan perkhidmatan saringan dan rawatan bagi masalah kesihatan mental di 60 hospital kerajaan, 1,001 klinik kesihatan primer dan 25 Pusat Komuniti Kesihatan Mental (Mentari)," katanya.