Peristiwa hitam mungkin berulang jika mansuh SOSMA: Peguam

Mohd Khairul Azam Abdul Aziz. Foto: Hafiz Adnan
Mohd Khairul Azam Abdul Aziz. Foto: Hafiz Adnan
A
A
A

SHAH ALAM - Negara berisiko berdepan semula dengan peristiwa seperti 13 Mei, pencerobohan Lahad Datu dan kes pengganas Al-Ma'unah sekiranya Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dimansuhkan kata peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.

Beliau berkata, SOSMA perlu dikekalkan kerana ia adalah satu bentuk jaminan keselamatan terhadap seluruh rakyat di negara ini, berbanding desakan pemansuhan untuk membela tahanan yang teraniaya kerana dikatakan tidak bersalah.

Menurutnya, tahanan SOSMA masih mendapat ruang pembelaan sekiranya mereka benar-benar tidak bersalah, sedangkan sekiranya penjenayah atau pengganas sebenar dibiarkan bebas, keamanan negara tidak terbela.

"Takkan kita nak hapuskan undang-undang SOSMA kerana ada satu dua kes yang teraniaya, dan kita mahu 'membakul sampahkan' penjenayah-penjenayah besar..membiarkan mereka berkeliaran dalam masyarakat?

"Ini bukan zaman seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) yang kita tak tahu apa yang berlaku. Semua (penganiayaan) ini boleh dituntut dan sudah banyak kes tahanan memperoleh ratusan ribu ringgit kerana menuntut hak mereka.

"Penganiayaan bukan hanya berlaku dalam SOSMA tapi dalam kehidupan. Kalau berlaku pelanggaran hak asasi, mereka boleh merayu ke mahkamah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Wacana Sinar Harian Siri 136 membincangkan tajuk, SOSMA: Mansuh Atau Kekal? di Dewan Karangkraf di sini malam ini.

Selain itu, dua panel lain iaitu Pengerusi Desak Sampai Mansuh, Mahathir Rahman, Profesor Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod turut dijemput bagi mengupas isu itu, manakala Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin bertindak sebagai moderator.

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah, hanya penambah baikan perlu dibuat terhadap SOSMA bukannya pemansuhan kerana secara keseluruhannya, ia adalah undang-undang yang mencegah daripada berlaku jenayah terancang.

"Antaranya akta keterangan tidak terpakai perlu disemak semula, kenyataan orang yang sudah meninggal dunia yang diguna pakai juga perlu disemak," katanya.