Apungan harga harian, stesen minyak boleh gulung tikar

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan penetapan harga runcit bahan api secara sistem apungan harian akan menyebabkan stesen minyak di luar bandar terpaksa gulung tikar.

Presiden Persatuan Pengusaha-pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata sistem itu akan menyebabkan berlaku perang harga antara stesen minyak di negara ini.

Katanya, meskipun perang harga itu akan menguntungkan pengguna namun ia akan memberi kesan kepada stesen minyak di luar bandar.

“Kalau secara harian ini sebenarnya komplikasinya siapa yang tentukan harga? Kalau kerajaan yang tentukan harga, cabarannya kepada kerajaan untuk tetapkan harga. Kalau tetapan dibuat syarikat minyak, maknanya akan ada perang harga.

“Kalau ditetapkan oleh pengusaha, lebih besar perang harga itu bukan zon lagi tapi perang harga antara stesen. Kalau kita lihat yang paling ‘ekstrem iaitu perang harga antara stesen, kebanyakannya yang akan menjadi mangsa ialah stesen-stesen luar bandar.

“Perang harga akan menurunkan harga dan orang ramai mungkin dapat menikmati harga yang lebih rendah tapi yang di luar bandar, ‘volume’ tak ada, jualan sedikit, kos pengangkutan tinggi jadi harganya lebih tinggi membuatkan ia tak boleh kekal dan pada akhirnya terpaksa tutup,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, Pengurus Pembangunan Perniagaan Fakulti Perniagaan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff mencadangkan sistem apungan harian yang dilihat memberi manfaat kepada pengguna serta merta apabila harga minyak mentah dunia jatuh.

Menurutnya, sistem mingguan hanya akan menyukarkan pengusaha stesen minyak untuk mengawal inventori minyak susulan perubahan harga setiap minggu manakala sistem bulanan menyebabkan perubahan positif terhadap harga minyak tidak dapt dinikmati serta merta oleh pengguna.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Khairul akui secara teorinya, sistem apungan harian itu memudahkan kerja-kerja inventori berbanding secara mingguan atau bulanan.

“Sebab mungkin apa yang kita beli ini habis terjual esok tapi tak semestinya kerana mungkin ada stesen yang pembelian hari ini, empat hari baru habis dijual. Faktornya banyak sebenarnya.

“Tapi pada akhirnya, model apa yang nak disyorkan? Kos pengangkutan bagaimana? Adakah kos itu mengikut jarak depoh dengan stesen minyak? Maksudnya lagi mahal harga di kawasan kampung? Atau bagaimana?,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan pihaknya tetap berpendirian penetapan harga secara bulanan lebih sesuai diamalkan.

“Secara dasarnya untuk industri kami memang meminta bulanan sebab bulanan itu tidak ‘destructive’ sangat dari segi kos pengangkutan dan lain-lain. Risau kekurangan bekalan minyak pun tak ada.

“Sebab kalau setiap minggu, apabila tahu harga jatuh banyak sahaja, ada isu minyak kering dan sebagainya. Jadi kami memang mahukan secara bulanan. Apa pun kita kena tunggu pengumuman kerajaan,” katanya.

Sebelum ini, pihaknya mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membincangkan perkara ini.

Namun kerajaan masih belum memutuskan kaedah penetapan harga bahan api yang baharu.