Ekspedisi buru fosil di Terengganu

Dr Nor Aieni (dua dari kanan) menerima fosil tumbuhan berusia kira-kira 300 juta tahun yang disumbangkan JMG.
A
A

KUALA TERENGGANU – Penemuan fosil tumbuhan berusia kira-kira 300 juta tahun di Paya Peda, Besut dan beberapa fosil lain di sini menjadikan Terengganu sebagai lokasi menarik untuk diteroka oleh ahli geosains.

Atas sebab itu, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) bekerjasama menganjurkan Ekspedisi Memburu Fosil Marin selama empat hari bermula 19 Januari depan di beberapa lokasi Terengganu.

Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar berkata, program itu julung kali diadakan dan pemilihan Terengganu sebagai lokasi bertepatan dengan negeri ini yang kaya dengan sisa fosil purba dan kebanyakan daripadanya adalah fosil marin.

Menurutnya, dianggarkan 60 peserta termasuk 35 pelajar Ijazah Sarjana Muda Geosains Marin UMT, iaitu program baharu diperkenalkan universiti berkenaan dan pakar geologi luar negara akan menyertai ekspedisi itu.

Antara lokasi yang bakal menjadi tumpuan peserta ekspedisi nanti adalah Bukit Bucu, Kuala Terengganu dan Keruak, Hulu Besut, yang dipercayai mempunyai fosil tumbuhan kuno.

“Ekspedisi yang juga dibuka kepada orang awam diadakan untuk memberi pendedahan kepada pelajar teknik-teknik betul dalam bidang geosains terutama pemetaan fosil,” katanya selepas ke Program Training On Coastal Geology: Coastal Erosion and Resources di UMT hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah JMG, Datuk Shahar Effendi Abdullah Azizi.

Pada majlis itu, JMG turut menyerahkan fosil tumbuhan berusia kira-kira 300 juta tahun yang dikenali sebagai Carboniferous hingga Early Permian kepada UMT untuk dibuat kajian dan rujukan pelajar.

Fosil tumbuhan ini dijumpai semasa kerja-kerja penggalian bagi pembinaan Empangan Paya Peda, Besut pada tahun 2013, penemuan fosil ini sangat jarang ditemui dan ia signifikan untuk dilakukan kajian lanjut.

Ia dikenali sebagai fosil tumbuhan tertua di Malaysia dan dikatakan wujud sebelum zaman dinosaur di mana hutan paya menguasai alam sekitar.

Untuk rekod, hubungan antara JMG dan UMT secara rasmi bermula pada tahun 2012 dan setakat ini, kerjasama ini telah berjaya melahirkan dua graduan doktor falsafah dan memperoleh geran penyelidikan hampir RM300,000.