X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

Kekal larang BMF di masjid: Asmuni

Asmuni
A
A

IPOH - Kerajaan Perak kekal dengan larangan penganjuran kempen Beli Barangan Muslim Dahulu (BMF) di kawasan masjid seperti yang diumumkan sebelum ini.

Exco Agama, Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan Perak, Asmuni Awi berkata, tindakan itu dibuat kerana kerajaan tidak mahu dilihat terlibat dengan kempen-kempen tidak selari dengan polisi kerajaan yang kini sedang giat mempromosikan pensijilan dan penghasilan produk halal.

Menurutnya, bagaimanapun disebalik larangan itu kerajaan negeri tidak menentang sebarang kempen yang dijalankan oleh mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di dalam premis kerajaan selagi aktiviti itu selari dengan dasar dan polisi kerajaan.

"Dalam konteks masjid dan surau, aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh parti-parti politik atau pihak lain yang didalangi oleh parti politik dilarang sama sekali seperti mana yang dititahkan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

"Dalam konteks BMF, meskipun pihak penganjur mendakwa aktiviti tersebut dibuat atas nama NGO, hasil laporan dan siasatan diterima mendapati individu yang terlibat dalam pelancaran kempen tersebut di sebuah masjid merupakan pimpinan bagi parti politik tertentu," katanya pada sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini semalam.

Hadir sama, Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim.

Asmuni (tengah) dan Hasnul Zulkarnain (kiri) pada sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan semalam.
Asmuni (tengah) dan Hasnul Zulkarnain (kiri) pada sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan semalam.

Sebelum ini Asmuni menegaskan larangan kempen tersebut di dalam masjid selepas perkara itu dimuktamadkan pada Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) yang bersidang pada Jumaat lalu.

Bagaimanapun sebuah NGO iaitu Gerakan Pembela Ummah (Ummah) Perak bertekad untuk meneruskan kempen BMF dalam membantu ekonomi umat Islam.

Dalam perkembangan berkaitan Asmuni berkata, jika ada masjid yang menganjurkan kempen tersebut, beliau menyerahkan kepada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) untuk mengambil tindakan terhadap jawatankuasa masjid yang ingkar dengan arahan ditetapkan.

Mengenai dakwaan UMNO dan Pas Perak bahawa pihaknya cuba mengheret institusi mufti ke kancah politik berhubung isu penganjuran BMF di negeri ini, Asmuni menafikan perkara tersebut.

Laporan Sinar Harian 20 Oktober 2019.
Laporan Sinar Harian 20 Oktober 2019.

"Siapa yang pada awalnya menjemput Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim untuk merasmikan kempen ini? Mereka yang mengheret institusi mufti dengan berselindung disebalik NGO.

"Jadi dakwaan itu tidak betul. Bukan saya yang mengheret tetapi mereka yang heret," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan heret institusi mufti dalam politik kepartian

Semalam Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad dan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria mengeluarkan kenyataan bersama menyelar tindakan Asmuni yang secara terbuka memanggil Zamri bagi memberi penjelasan berhubung isu penganjuran BMF di negeri ini.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!