Agong berkenan terima menghadap Timbalan Presiden Indonesia

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Timbalan Presiden Indonesia, Ma’ruf Amin di sebuah hotel di sini pada Selasa.
 - Foto Bernama
A
A

TOKYO - [DIKEMASKINI] Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Timbalan Presiden Indonesia, Prof Dr Ma’ruf Amin di sebuah hotel di sini hari ini.

Pertemuan yang bermula pada 10 pagi waktu tempatan (kira-kira 9 pagi waktu Malaysia) berlangsung selama kira-kira 20 minit.

Seri Paduka dan Ma’ruf berada di sini bagi memenuhi undangan kerajaan Jepun untuk menghadiri Upacara Pertabalan Maharaja ke-126 Jepun, Maharaja Naruhito yang akan berlangsung di Istana Imperial tengah hari ini.

Turut menghadiri pertemuan itu ialah Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Kennedy Jawan; Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Samsuddin; Menteri Penasihat di Kedutaan Besar Malaysia di Jepun, Mohd Ishrin Mohd Ishak dan Ketua Pegawai Istiadat Kerajaan Datuk Rozainor Ramli.

Bagi pihak Indonesia, turut hadir ialah Menteri Luarnya, Retno Marsudi; Duta Besar ke Jepun, Arifin Tasrif; Kepala Sekretariat Wakil Presiden, Mohamad Oemar dan Direktor Timur Tengah Kementerian Luar, Achmad Rizal Purnama. - Bernama