Pesanan Tun M suntik inspirasi

A
A
A

SINTOK - Walaupun rutinnya sentiasa sibuk sebagai peneraju syarikat farmaseutikal terbesar negara ditambah lagi tanggungjawabnya sebagai seorang isteri, namun penat lelah ibu kepada empat orang anak ini berbaloi apabila beliau berjaya merangkul Anugerah Angkatan Koperasi Kebangsaan (Angkasa) pada sesi kedua Majlis Konvokesyen Ke-32 Universiti Utara Malaysia (UUM).

Beliau yang juga merupakan Pengarah Urusan Pharmaniaga Berhad, Datuk Farshila Emran berjaya meraih CGPA 3.89 selepas menamatkan pengajian di peringkat Sarjana Pentadbiran Perniagaan.

Menurutnya, beliau berpegang pada prinsip bahawa manusia yang menguruskan masa, bukan masa yang mengurus manusia.

Katanya, beliau juga sentiasa ingat pesanan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa 'passion is everything.'

"Kejayaan Tun Daim Zainuddin menamatkan pengajian Ijazah Kedoktoran (PhD) dari Universiti Malaya pada usia 81 tahun baru-baru ini telah menjadi pemangkin semangat dan saya percaya di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

"Hari ini pula adalah hari yang cukup bersejarah buat saya. Saya bersyukur pada Ilahi dan berterima kasih pada suami yang sentiasa berada di sisi di saat susah senang, anak-anak dan pensyarah yang tidak pernah putus memberi dorongan," katanya.

Farshila berkata, beliau mahu menjadi aspirasi dan inspirasi kepada anak-anak apabila melihat ibu mereka berusaha keras untuk mengejar ilmu di usia begini.

"Semua ini juga untuk anak-anak saya dan saya mahu mereka juga terus berusaha untuk mencapai kejayaan cemerlang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Berbicara mengenai kerjayanya, Farshila berkata, Pharmaniaga Berhad merupakan sebuah syarikat yang mengeluarkan, memasarkan dan mengedar produk farmaseutikal dan perubatan ke hospital kerajaan dan institusi swasta.

"Bidang tersebut menjadikan saya lebih prihatin terhadap permasalahan orang lain dan secara tidak langsung akan memastikan mereka yang memerlukan mendapat ubat secara tepat dan cepat kerana kelewatan akan mengundang padah kepada pesakit," katanya

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Seri Sabin Samitah berkata, UUM dan LHDN telah lama menjalinkan kerjasama bagi membuka peluang kepada pegawai yang ingin melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dan PhD.

Menurutnya, dari situ timbul minat untuk melanjutkan pelajaran di peringkat PhD dan hasil pergaulan dengan pensyarah UUM yang datang ke Akademi Percukaian Malaysia, beliau mula belajar untuk lebih fokus pada topik tertentu.

"Jika sebelum ini saya hanya membaca sekadar hobi untuk mengetahui perkara baru tentang cukai tetapi dengan mengikuti PhD ini, saya lebih mendalami metodologi penyelidikan, penulisan akademik dan meningkatkan pengetahuan dalam membuat kajian secara mendalam berdasarkan perspektif akademik.

"Pada zaman serba canggih ini dengan kemudahan internet, saya tidak perlu ke perpustakaan memandangkan saya boleh akses kepada jurnal, buku dan tesis di Perpustakaan Sultanah Bahiyah," katanya yang merakamkan ucapan terima kasih kepada dua penyelia, Prof Dr Kamil Md Idris dan Dr Saliza Abdul Aziz yang telah banyak membantu beliau dalam menyiapkan tesis pengajian.