Prabowo sertai Kabinet baharu Jokowi

Prabowo (kiri) bersetuju untuk menyertai Kabinet baharu Jokowi walaupun beliau pernah menentang keras keputusan Pilpres pada April lalu. - FOTO: Kompas.com
Prabowo (kiri) bersetuju untuk menyertai Kabinet baharu Jokowi walaupun beliau pernah menentang keras keputusan Pilpres pada April lalu. - FOTO: Kompas.com
A
A
A

JAKARTA - Pemimpin pembangkang Indonesia daripada Parti Gerindra, Prabowo Subianto hari ini memaklumkan beliau akan menyertai Kabinet baharu di bawah penggal kedua pemerintahan Presiden Joko Widodo atau Jokowi untuk tempoh 2019-2024.

Perkara itu turut disahkan Prabowo daripada Parti Gerindra diminta pesaingnya dalam Pilihan Raya Presiden 2019 (Pilpres) yang sengit pada April lalu untuk membantu bidang pertahanan.

“Hari ini kami diminta secara rasmi untuk menganggotai Kabinet dan kami menerimanya,” kata bekas jeneral itu selepas bertemu Jokowi di Istana Presiden.

Beliau tidak mengesahkan kedudukannya dalam Kabinet baharu itu namun beberapa laporan media menyebut Prabowo bakal dilantik sebagai Menteri Pertahanan.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Logistik dan Teksi Motosikal (Gojek), Nadiem Makarim memaklumkan beliau meletak jawatan daripada syarikat tersebut untuk menyertai Kabinet Jokowi.

“Saya telah diberi penghormatan besar untuk bersama Kabinet pada kali ini,” katanya yang memberi jaminan keputusan meletak jawatan itu tidak akan menjejaskan Gojek.

Media tempatan meramalkan pengasas bersama Gojek yang memberikan lebih dua juta peluang pekerjaan dan menjana pendapatan sehingga AS$1 bilion (RM4.18 bilion) pada 2018 itu mungkin akan diberi portfolio di bawah Kementerian Ekonomi Digital atau Pendidikan.

Sementara itu, bekas Ketua Mahkamah Perlembagaan, Mahfud MD memaklumkan Jokowi dijangka mengumumkan barisan Kabinet baharu beliau pada esok.

Artikel Berkaitan:

“Pengumuman itu akan dibuat pagi esok. Kami dipanggil seorang demi seorang oleh Presiden,” ujarnya yang turut disoal Jokowi sama ada sudah bersedia untuk berkhidmat namun tidak dimaklumkan tentang jawatan yang akan dipegang oleh beliau.

Kelmarin, Jokowi memberitahu beliau merancang untuk memperkenalkan para Menteri semalam, namun masih tiada pengumuman rasmi dibuat dan kebanyakan media terus berteka-teki tentang kejutan dalam Kabinet baharu tersebut. - Agensi