‘Ini bukan janji manis’

Mohamad Sukri percaya pemain negara akan memberikan yang terbaik ketika menentang Great Britain. FOTO: FB MHC
Mohamad Sukri percaya pemain negara akan memberikan yang terbaik ketika menentang Great Britain. FOTO: FB MHC
A
A
A

Kapten Malaysian Tigers, Mohamad Sukri Abdul Mutalib optimis skuad negara mampu melakar keputusan positif pada aksi Kelayakan Sukan Olimpik 2020 menentang Great Britain di Stadium Hoki Lee Valley, London, 2 dan 3 November depan.

Menurutnya, ia bukan janji manis untuk meyakinkan peminat hoki negara sebaliknya ia berdasarkan kerja keras dan komitmen semua pemain semasa sesi latihan.

“Secara jujurnya, untuk meyakinkan peminat bukan mudah. Saya tidak ada kuasa penuh untuk yakinkan peminat, tetapi apa yang boleh saya katakan selepas kita menjalani latihan keras dan berada di bawah bimbingan Roelant Oltmans nampak perkembangan ketara permainan pasukan.

“Saya tidak boleh nak kata kami akan menang perlawanan itu (menentang Great Britain), tetapi kami ke sana dengan semangat juang tinggi untuk mencipta kejutan,” katanya.

Malaysia memperoleh tiket automatik ke pusingan Kelayakan Sukan Olimpik 2020 selepas mara ke final Siri Final Lelaki FIH 2019 di Kuala Lumpur pada Mei lalu.

Pemain negara berdepan tugas sukar untuk melakar kemenangan ke atas Great Britain.FOTO: FB MHC
Pemain negara berdepan tugas sukar untuk melakar kemenangan ke atas Great Britain.FOTO: FB MHC

Great Britain di bawah bimbingan Danny Kerry dibarisi pemain pasukan ranking ketujuh dunia, England, Wales (18) dan Scotland (19) sementara skuad kebangsaan menghuni ranking ke-11 dunia.

Kali terakhir Malaysia beraksi di temasya sukan terbesar dunia itu adalah pada Sukan Olimpik 2000 di Sydney, Australia.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mohamad Sukri juga menyifatkan corak permainan pasukan negara juga sudah berbeza selepas menerima penerapan taktikal Oltmans.

“Bagi saya corak permainan pasukan ketika ini mirip dengan permainan Eropah. Sebab itu, saya percaya tidak mustahil untuk kita kejutkan mereka,” katanya.