GPPMS bantu wujudkan pembangunan secara holistik: Amirudin

Amirudin ketika melancarkan GPPMS sewaktu Majlis Townhall Bandar Pintar dan Rendah Karbon@Cyberjaya yang berlangsung di Cyberview Lodge Resort & Spa hari ini.
Amirudin ketika melancarkan GPPMS sewaktu Majlis Townhall Bandar Pintar dan Rendah Karbon@Cyberjaya yang berlangsung di Cyberview Lodge Resort & Spa hari ini.
A
A
A

CYBERJAYA - Pelancaran Garis Panduan Pembangunan Mampan@Sepang (GPPMS) dapat menjadi panduan terbaik kepada Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) untuk menterjemahkan pembangunan bandar secara holistik.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, objektif utama GPPMS adalah bagi memastikan kesemua elemen yang digariskan di bawah program Bandar Selamat, Bandar Pintar dan Bandar Rendah Karbon dapat dilaksanakan melalui penguatkuasaan undang-undang dan kawalan perancangan.

Beliau berkata, penggabungan ketiga-tiga elemen itu dapat menjadikan Cyberjaya sebagai kawasan berdaya huni, selamat dan berteknologi di Selangor.

"Melalui pelancaran ini, ia menunjukkan kesungguhan MPSepang bagi menjadikan Cyberjaya sebagai bandar pintar dan rendah karbon menjelang tahun 2030 dengan pengurangan karbon sebanyak 40 peratus seperti mana dirancangkan melalui Cyberjaya Smart Low Carbon City Action Plan 2025," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Townhall Bandar Pintar dan Rendah Karbon@Cyberjaya yang berlangsung di Cyberview Lodge Resort & Spa hari ini.

Dalam majlis sama, Amirudin turut berkesempatan melancarkan aplikasi iSepang yang memuatkan maklumat mengenai daerah ini, kemudahan tempahan, pembayaran cukai taksiran dan sewaan serta semakan berkaitan.

Mengulas mengenai pelancaran aplikasi itu, Amirudin berkata, pengguna boleh berurusan secara atas talian tanpa perlu hadir ke kaunter perkhidmatan selepas ini.

"Inisiatif berterusan ini bertujuan bagi mencapai hasrat untuk menjadikan Sepang sebagai majlis perbandaran yang pintar dan mampan," katanya.

Dalam pada itu, Yang Dipertua MPSepang, Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata, sesi townhall yang dianjurkan kali ini bertujuan bagi membincangkan mengenai hala tuju serta kepentingan pembangunan bandar pintar dan rendah karbon khususnya di kalangan warga kerja MPSepang, pihak berkepentingan dan pemaju di Cyberjaya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, MPSepang sebelum ini turut menerima penganugerahan Diamond Recognition bagi program Low Carbon City Framework (LCCF) dan Diamond Rating bagi Sustainable Energy Low Carbon Buildings Assestment - Greenpass Operation.

"Ini membuktikan MPSepang merupakan sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang komited menjadi bandar pintar, hijau dan rendah karbon," katanya.