Pembantu taska ditahan jerit polis bodoh

No Image Caption
A
A
A

LUMUT - Padah mengeluarkan kata-kata kesat, seorang pembantu taska ditahan polis ketika berkelakuan biadab di Pejabat Pertanyaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di sini kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, wanita berusia 32 tahun itu dikatakan naik angin sebelum mengeluarkan kata-kata 'police got no manners' dan polis bodoh terhadap pegawai dan anggota bertugas.

Difahamkan, wanita tersebut hanya menemani ahli keluarganya membuat satu laporan kemalangan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan Chong Koo Khim berkata, suspek ditahan selepas bertindak menjerit dan bercakap kasar meskipun telah ditenangkan oleh anggota bertugas.

"Suspek dikatakan telah memaki hamun pegawai polis kerana tidak berpuas hati dengan tindakan polis semasa membuat laporan.

"Polis cuba menenangkan suspek namun suspek masih bersikap biadab menyebabkan tindakan lanjut diambil. Suspek ditahan serta-merta," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 kerana berkelakuan tidak senonoh di balai polis.

Sementara itu, dua kereta jenis Proton Wira lesap dalam tempoh sehari di kawasan taman perumahan Sitiawan di sini semalam.

Artikel Berkaitan:

Koo Khim berkata, pihaknya menerima dua laporan polis berbeza mengenai kehilangan kenderaan itu pada jam 6.15 pagi dan 10 malam.

"Polis tidak menolak kemungkinan kejadian itu dilakukan oleh suspek yang sama berdasarkan kepada jenis kenderaan yang dicuri.

"Semua elemen polis digerakkan bagi mengesan kembali kenderaan itu selain meningkatkan rondaan berkala sebagai langkah pencegahan," katanya.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.